Mudah berunding dengan orang yang kita tidak begitu percaya - Presiden PAS

(Sejak isu pertemuan pemimpin PAS dan Umno timbul, pelbagai spekulasi telah berbangkit. Untuk menjelaskan keadaan sebenar pendirian PAS mengenai hal ini, kita paparkan ucapan Presiden PAS, Dato' Haji Fadzil Mohd Noor di suatu majlis ceramah di Pusat Tarbiyah PAS, Taman Melewar Kuala Lumpur minggu lalu.)

Sebahagian pendukung PAS tidak mendapat maklumat yang jelas mengenai pertemuan perundingan antara PAS dan Umno. Perkara ini bukan saja dibangkitkan oleh orang PAS tetapi juga waktu saya di Mesir, baru-baru ini.

Pelajar kita membangkitkan perkara ini. Ketika saya sedang bercakap kepada kumpulan pelajar di sana, keluar pula dalam internet mengatakan bahawa Umno nak ajak PAS menyertai kerajaan. Para pelajar tanya saya apa pendirian PAS kerana mereka baca dalam internet Dr Mahathir nak ajak Pas masuk kerajaan, kata mereka.

Saya kata kita tidak ada cadangan nak masuk kerajaan, yang kita cadang Insya-Allah hendak tubuh kerajaan BA selepas pilihan raya 2004. Insya-Allah kamu belajar betul-betul tahun 2004 balik mengundi supaya Barisan Alternatif menubuhkan kerajaan. Kita bukan nak masuk kerajaan yang ada.

Malam ini Dewan Pemuda menganjurkan ceramah kerana kata mereka ramai orang PAS dan juga mereka yang menyokong kita bimbang. Bila saya balik pun bertimbun-timbun surat bertanyakan hal ini, ada yang saya tidak sempat baca. Macam-macam, Ada yang mengatakan dalam surat itu supaya jangan berunding dengan Umno kerana Dr Mahathir ini kita tidak boleh percaya. Saya dah cakap dibanyak tempat perkara ini.

Saya kata, bagi saya kita berunding dengan orang yang kita tidak berapa percaya lebih senang dengan orang yang kita percaya. Sebab, kita berunding dengan orang yang kita percaya dia bohong pun kita percaya. Tetapi kalau kita berunding dengan orang yang kita tidak percaya atau tidak berapa percaya dia cakap betul pun kita siasat dulu betul atau tidak.

Kesilapan Yassir Arafat pemimpin PLO Palestin dia berunding dengan pemimpin Yahudi kerana dia percaya kepada Simon Peres. Itu salah dia kerana dia percaya. Bila dia percaya dia terus tandatangani perjanjian dengan Israel sedangkan mereka itu penipu. Sekarang telah berapa tahun perjanjian Oslo dibuat sejak tahun 1997 tetapi apa yang berlaku di Palestin pertempuran, pembunuhan, penindasan, kezaliman dilakukan oleh tentera Yahudi.

Sekarang dengan kemenangan bapak penganas Yahudi, Ariel Sharon sebagai Perdana Menteri yang baru ini akan mengancam peperangan baru di Asia Barat. Sewaktu saya di Lebanon kita berjumpa dengan pemimpin Islam di Lebanon mereka tidak menolak kemungkinan berlaku peperangan baru kalau Sharon menang dan dia telah menang.

Dia ini pengganas, dialah yang telah melancarkan dua serangan ke atas dua khemah pelarian Palestin di Beirut iaitu di Shabra dan Shatila, membunuh beribu-ribu orang Islam Palestin. Kita mendukung perjuangan Islam melalui politik, dalam politik kita ada dakwah. Ini kita tidak boleh lupa, ini keteria utama kita . Sebab itu kita PAS telah menyuarakan bertahun-tahun bahawa kita bersedia untuk berbincang dengan siapa-siapa juga.

Kita berdialog dengan siapa juga yang hendak berdialog dengan kita. Kita bersedia untuk berbincang dalam apa saja masalah. Kerana, ini adalah ajaran agama kita. Sebab itu bila Umno ajak kita berbincang, kita sambut. Dulu kita mengajak dia bermuzakarah dia tak hendak, tiba-tiba dia hendak pula, kita terimalah. Apa salahnya, ini ajaran agama kita. Kita berjuang atas landasan Islam.

Allah .s.w.t. mengajar kita bagaimana Allah berdailog dengan malaikat ketika Allah memberitahu malaikat bahawa Dia hendak menjadikan manusia khalifah-Nya di bumi, iaitu Adam. Ketika Allah berkata kepada malaikat, "sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi, iaitu manusia, Adam". Malaikat suatu makluk yang dicipta oleh Allah tidak pernah membantah sama sekali apa juga perintah Allah bertanya, Allah izinkan mereka bertanya.

Para malaikat berkata, "wahai Allah kami, apakah engkau hendak menjadikan khalifah itu di kalangan mereka yang akan membuat fasat, membuat keburukan di muka bumi ini, dan menumpahkan darah. Sedangkan kami sentiasa membesarkan Engkau, memuji, mentasbihkan engkau, tidak pernah menderhaka kepada engkau, tidak pernah membuat kejahatan.

Kenapa engkau hendak pilih orang yang hendak membuat kerosakan di muka bumi, sebagai khalifah. Allah membenarkan malaikat untuk menyoal. Allah tidak murka kepada malaikat, Allah tidak memarahi malaikat. Ini menunjukkan dalam Islam menjadi satu galakan untuk kita sentiasa berdialog, berbincang untuk mencari suatu jawapan yang baik, satu penyelesaian yang baik.

Allah memberitahu malaikat: Aku lebih tahu sesuatu yang kamu tidak tahu. Malaikat sujud menghormati Adam apabila Allah mencipta Adam dan diberikan ilmu kepada Adam. Malaikat diperintah untuk tunduk menghormati Adam maka maikat menghormati Adam lalu sujud. Para ulama mengatakan, lahirlah nabi-nabi dan rasul-rasul mereka yang lebih mulia daripada malaikat. lahirnya para syuhada, lahirnya para ulama, para aulia.

Dan samping itu ada juga golongan yang lebih buruk daripada iblis kerana mereka tidak mematuhi perintah Allah. Allah membenarkan perbincangan, bukan saja Allah berdialog dengan malaikat, tetapi juga bersoal jawab dengan iblis. Allah beri peluang kepada iblis untuk menyoal. Bila iblis tidak mahu sujud kepada Adam, Allah bertanya kepada iblis.

Sebenarnya Allah tahu, tetapi untuk menunjukkan panduan kepada kita dalam menghadapi keranah manusia dalam perjuangan kita maka Allah bertanya juga kepada iblis. Kita mesti mempunyai sikap terbuka, ini keunggulan kita. Allah bertanya kepada iblis; "Hai iblis apa yang menyebabkan engkau tidak mahu sujud kepada Adam bila aku perintah engkau sujud kepada Adam.

Kata iblis, wahai Tuhan, aku tidak mahu sujud kepada Adam kerana aku lebih baik daripada dia. Engkau jadikan aku dari api, engkau jadikan aku daripada tanah. Kerana ia merasakan api lebih baik daripada tanah dia telah takbur dan angkuh. Allah melaknatnya kerana keangkuhannya dan Allah halau keluar daripada syurga kerana tidak ada tempat bagi orang yang angkuh dalam syurga. Setelah Allah mengusir, menghalau, mengutuknya dia terus terus meminta kepada Allah.

Satu permintaan aku wahai Tuhan iaitu berilah aku hidup sehingga hari kiamat. Ini untuk aku menyesatkan zuriat Adam yang menyebabkan aku di halau daripada syurga. Peristiwa ini adalah satu petunjuk kepada kita sebagai pejuang Islam sebagai para duat kita mesti bersedia untuk berbincang dengan siapa juga. Kalau dia tidak ikhlas, Allah akan membalasnya. Itu ajaran Islam.

Kita berpolitik dengan Islam bukan politik yang terpisah dari Islam. Kita berdakwah dalam politik. Kita menggunakan pendekatan politik dalam dakwah kita. Kita harus bersedia berbincang perkara yang membawa kebaikan kepada rakyat, kepada negara dan juga agama kita. Sebab itu kita menolak untuk berbincang kepentingan Melayu saja.

Kita telah menyatakan bahawa kita bersedia berbincang dengan Umno dengan syarat perbincangan itu melibatkan kepentingan negara bukan kepentingan kaum melayu perpaduan Nasional. Sudah tentu bila kita hendak bincang soal-soal negara kita bincang pelbagai isu melibatkan kegelisahan rakyat, masalah yang menjadikan negara porak-peranda. Kita tidak menerima pendapat bahawa orang Melayu berpecah. Orang Melayu tidak berpecah. Kita tetap dengan pendirian ini.

Bagi kita, orang Melayu hanya berpindah daripada Umno kepada PAS atau kepada Barisan Alternatif, yang berpecah ialah Umno. Kita tidak anggap orang Melayu berpecah, orang Melayu sudah ada lama dalam Pas. Kenapa dulu dia tidak bimbang perpecahan Melayu. Kerana waktu itu majoriti orang Melayu bersama dengan Umno. Dia rasa dia masih kuat. Dia tidak lihat masalah perpecahan sebagai masalah kepada dia sebab dia masih kuat.

Tetapi selepas tahun 1999 dia melihat majoriti orang Melayu tidak lagi bersama dengan dia. Jadi yang berpecah ialah Umno, malah bukan sekali Umno berpecah. Pada awal kemerdekaan, selepas kemerdekaan Umno sudah mulai berpecah dengan isu bahasa. Tahun 1987 sekali lagi Umno berpecah, pada tahun 1998 dengan isu Dato' Anwar Ibrahim sekali lagi Umno berpecah dan ini lagi teruk berpecah.

Orang Melayu pindah kepada pembangkang, Umno yang berpecah, berpindah dari rumah Umno ke rumah PAS atau Barisan Alternatif (BA), sebab dia tengok rumah Umno dah nak roboh. Dr Mahathir pun sebut dia kata perbincangan terbuka apa isu juga. Kita akan bawa apa saja isu yang menjadi masalah kepada rakyat, soal rakyat tidak berpuas hati dengan amalan demokrasi. Soal kepincangan dalam pengurusan ekonomi akan kita sampaikan secara berdepan-depan.

Sekarang ini cakap jauh-jauh, dia duduk di Puterajaya kita duduk di Taman Melewar. Kadang-kadang kita bercakap di Gua Musang dia duduk di Kuala Lumpur. Kita dengar pun sayup-sayup saja. Tak dengar berdepan-depan. Ada juga orang yang berhujah, kita tidak boleh percaya kepada pemimpin Umno. Mereka tidak ada keikhlasan, mereka tidak jujur. Apakah ketika Nabi Muhammad s.a.w berunding dengan orang Yahudi Madinah, Nabi Muhammad s.a.w. yakin dengan kejujuran Yahudi. Apakah nabi tidak tahu bahawa Yahudi itu penipu, penjahat, pemusnah segala perjanjian yang dibuat dengan nabi-nabi dan rasul-rasul terdahulu.

Nabi tahu itu semua. Al-Quran menerangkan mengenai sikap Yahudi membunuh nabi-nabi mereka, mengoyak-goyak perjanjian yang diturun oleh Allah melalui Nabi Musa kepada mereka. Tetapi kenapa Nabi Muhammad s.a.w. mengadakan perjanjian dengan mereka, kenapa nabi berunding dengan mereka, kenapa nabi berbincang dengan mereka. Ini menunjukkan keunggulan Islam.