Terengganu angkat martabat wanita
WALAUPUN PAS tidak mengetengahkan calon
wanita dalam pilihan raya umum lalu, tidak
bermakna kepemimpinan parti itu memandang
rendah kepada mereka. Peluang mereka bersuara
tetap ada.
Sebagaimana di Kelantan, kerajaan PAS
Terengganu turut melantik wakil muslimat sebagai
anggota Dewan Negara iaitu Naib Ketua Dewan
Muslimat PAS negeri, Puan Safinah Jusoh.
Wartawan Harakah, KHAIRUL AZLAM MOHMAD
sempat mewawancara beliau baru-baru ini bagi
meninjau pandangannya berhubung beberapa
perkara yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri
khususnya yang melibatkan wanita.
SOALAN (S): Assalamualaikum w.b.t, terlebih
dahulu bagi pihak Harakah merakamkan ucapan
tahniah kepada Puan di atas pelantikan sebagai
Senator. Apakah perasaan Puan Safinah dengan
pelantikan tersebut?
JAWAPAN (J): Saya juga ingin merakamkan
setinggi-tinggi penghargaan terima kasih di atas
pelantikan sebagai Senator. Saya bersyukur
dengan pelantikan tersebut yang merupakan satu
amanah kepada saya yang perlu
dipertanggungjawabkan oleh parti dan kerajaan
Terengganu. Saya bercakap bagi mewakili kaum
muslimat khususnya di negeri Terengganu Darul
Iman. Ini membayangkan satu pengiktirafan
kepada terhadap segala kerja serta penglibatan
muslimat dalam perjuangan menegakkan Syiar
Islam sehingga berjaya menubuhkan sebuah
kerajaan pimpinan PAS.
S: Apakah visi dan harapan Puan sebagai seorang
anggota Dewan Negara?
J: Insya-Allah, sebagai seorang Senator di Dewan
Negara, saya akan cuba sedaya upaya memberi
sumbangan yang boleh dimanfaatkan kepada
seluruh rakyat Malaysia dalam segala hubungan
seperti pemerintahan dan pentadbiran negara ke
arah untuk memahami hasrat dan aspirasi PAS bagi
menubuhkan sebuah kerajaan Islam, baik di negeri
mahupun Malaysia amnya.
S: Bagaimanakah pandangan Puan tentang
pelantikan Senator. Apakah ia akan menutup terus
kemungkinan wanita untuk menjadi wakil rakyat?
J: Dalam perkara tersebut, kita (wanita) perlu
faham dari awal-awal lagi tentang tugas peranan
dan tugas seorang wakil rakyat dengan anggota
Dewan Negara. Tugas Ahli Dewan Undangan Negeri
(Adun), mereka mempunyai hubungan terus
kepada rakyat. Manakala sebagai seorang
muslimat atau wanita pula, kita mungkin
mempunyai ruang-ruang yang terbatas untuk
memberi perkhidmatan yang sebaik-baiknya
kepada rakyat. Ini telah menjadi suatu dasar
kepada parti di semua peringkat. Namun begitu, ia
bukanlah bermakna menghalang wanita untuk
menjadi wakil rakyat, tetapi memandangkan
tugasan yang berat perlu dipikul serta
dipertanggunjawab. Justeru itu, tanggungjawab
tersebut tidak dapat disempurnakan oleh seorang
wanita. Manakala sebagai Senator pula berperanan
memberi pandangan dan suara mereka di Dewan
Negara, dan ia tidak secara langsung dengan
rakyat di peringkat bawahan. Oleh itu, tidak timbul
soal menutup ruang atau menghalang peranan
wanita. Sebab soal kepimpinan terletak kepada
kaum lelaki di dalam Islam. Jadi, pelantikan Senator
itu sebagai ruang atau peluang bagi wanita
bersuara.
S: Puan, mengenai ketiadaan wakil wanita dalam
Dewan Undangan Negeri Terengganu. Apakah ini
bermakna kepentingan dan pandangan wanita
akan terpinggir, dan apakah langkah-langkah yang
telah dan sedang diambil oleh Puan bagi
memastikan perkara tersebut tidak berlaku?
J: Seperti saya katakan tadi, ketiadaan wakil
wanita dalam Dun Terengganu bukan bermakna
kepentingan serta pandangan mereka akan
terpinggir. Dalam pemerintahan sesebuah kerajaan,
parti yang menguasai kerajaan tersebut. Dalam
parti kita mempunyai peringkat kepimpinan.
Kepimpinan muslimat iaitu Dewan Muslimat bermula
di peringkat pusat, negeri, kawasan, Dun dan
cawangan. Mereka boleh berperanan untuk
memberi nasihat, pandangan serta bersuara
menegur kerajaan sekarang. Jadi tidak wujud soal
peranan wanita akan terpinggir dalam kerajaan
pimpinan PAS. Apatah lagi kerajaan baru PAS yang
memerintah negeri Terengganu telah mewujudkan
satu Jawatankuasa Hal-Ehwal Wanita. Dalam
perkara ini agenda khusus perkara wanita akan
dimanifestasikan dalam hala tuju gerak kerja
hal-ehwal wanita. Di peringkat bawah pula kita
mewujudkan satu Jawatankuasa Syura Rakyat
(JSR) dan keanggotaan dalam jawatankuasa
tersebut mempunyai wakil wanita. Ini bertujuan
memastikan segala tuntutan, keperluan serta
permasalahan wanita dari peringkat bawahan tidak
tersisih, Insya-Allah.
S: Apakah Puan berpuas hati dengan keadaan
hidup dan pencapaian wanita di Malaysia
khususnya di negeri Terengganu sendiri? Apakah
peranan yang ingin dimainkan oleh Puan sebagai
anggota Dewan Negara bagi memperbaiki kualiti
hidup wanita?
J: Secara keseluruhannya kita dapati banyak
berlaku kekurangan terhadap rakyat sama ada bagi
wanita atau pun lelaki. Baik dari segi kefahaman
Islam, taraf pendidikan, pencapaian dan ekonomi
yang begitu lemah. Mereka (rakyat) hidup
bergantung kepada subsidi serta ikutan yang
'membuta-tuli'. Seolah-olah tidak ada daya usaha
serta kecekalan hati untuk mencuba sesuatu
tanpa dibantu oleh kerajaan. Kefahaman Islam
mereka cetek kerana kerajaan sekular yang lalu
tidak meletakkan Islam sebagai dasar
pemerintahan. Manusia menjadi tidak yakin dengan
Islam itu sebagai ad-deen. Jika kita faham Islam
itu cara hidup manusia yang ditetapkan oleh Allah
SWT, maka tidak timbul masalah dalam
masyarakat. Oleh itu, kita kena ubah sikap serta
membuka minda yang luas. Cuba kita cari peluang
yang ada agar tidak bercanggah dengan
syariat-Nya. Menjurus kepada cara hidup Islam
dengan membuka kelas pengajian agama dan
industri kecil. Ini bertujuan untuk menjadikan
wanita mampu menyara diri jika ditakdirkan suami
mereka tidak ada lagi. Di samping itu, menjadikan
wanita juga boleh membaca permasalahan politik
baik di dalam mahupun di luar negara.
S: Padangan Puan tentang kualiti halatuju dan
peranan kepimpinan wanita dalam kerajaan pusat?
J: Sebenarnya sudah lebih 40 tahun kita
mempunyai kepimpinan di peringkat (kerajaan)
pusat tetapi soal perkara asas wanita masih
terabai. Saya melihat kepimpinan wanita di
peringkat kerajaan pusat hari ini tidak dapat
melahirkan wanita yang solehah. Namun begitu,
kita (PAS) cuba memperjuang hak serta tuntutan
wanita Islam. Kita cuba mengeluarkan golongan
wanita dari keadaan terbelenggu kepada keadaan
yang lebih cergas baik di bidang agama,
pendidikan, ekonomi dan sebagainya. Tetapi kita
tidak nampak bahawa pemimpin-pemimpin wanita
itu boleh membawa wanita menjadi golongan
wanita yang bertaqwa serta faham dengan
tuntutan Islam. Contohnya, terdapat pemimpin
yang pergaulan mereka bebas, berpakaian tidak
menutup aurat dan halatuju mereka kabur dengan
tidak berlandaskan prinsip Islam.
S: Bagaimana pula kualiti pencapaian pendidikan di
Terengganu, khususnya di kalangan wanita.
Apakah langkah-langkah yang boleh diambil bagi
meningkatkannya?
J: Alhamdulillah, kualiti pendidikan Islam di
kalangan wanita di Terengganu agak baik. Ini juga
kerana mereka atau keluarga terlibat dengan
jamaah Islam (PAS). Maka, fahaman Islam mereka
lebih terserlah dari segi berpakaian, akhlak dan
cara berpolitik. Mereka dapat merealitikan
tuntutan Islam itu dalam kehidupan seharian. Di
Terengganu secara khusunya juga mempunyai
sekolah agama rakyat yang diasaskan oleh
kepimpinan parti sendiri. Lahirnya pusat-pusat
pendidikan Islam seperti Institut Berakan (Maahad
Ikhwan) di akhir tahun 70-an, Pusat Pengajian
Taman Islam, Maahad Darul Quran, Maahad Tahfiz,
Sekolah Rendah Islam, Pusat Asuhan Tunas Islam
(PASTI) serta Pondok-pondok Pengajian Islam
yang memberi pendidikan Islam kepada anak-anak
kita di Terengganu dan di negeri-negeri lain. Oleh
itu, langkah yang boleh diambil untuk
meningkatkan kualiti tersebut dengan
menambahkan lagi institusi pendidikan Islam serta
kerja-kerja penerangan Islam di semua peringkat
baik di kalangan wanita kerajaan, swasta dan
masyarakat seluruhnya.
S: Seperti di Kelantan, wanita di Terengganu juga
terkenal dari segi perniagaan. Apakah wawasan
Puan berhubung perkara ini?
J: Saya yakin ia akan terus berkembang dengan
wujudnya kerajaan PAS di Terengganu. Kerajaan
baru hari ini memberi peluang yang lebih luas
kepada wanita untuk melibatkan diri dalam bidang
perniagaan dengan apa yang sedia ada seperti
kemudahan dan bantuan. Kerajaan akan memberi
kemudahan sebagaimana yang terkandung di
dalam manifesto pilihan raya lalu. Namun begitu,
walaupun mereka (wanita) bekerja tetapi masih
terikat batas-batas yang dibenarkan oleh Islam
seperti menutup aurat serta menjaga kepentingan
Islam. Saya akan berusaha mengikut kemampuan
untuk meningkatkan lagi taraf hidup wanita.
Galakan serta sokongan terhadap wanita yang
berusaha dalam bidang perniagaan akan
diteruskan. Kita akan jadikan negeri Kelantan dan
Terengganu sebagai model sebuah kerajaan Islam
yang mempunyai ramai ahli perniagaan dari
kalangan wanita Islam. Martabat wanita Islam
harus dinaikkan bagi menyahut cabaran serta
tohmohan yang mengatakan Islam tidak maju,
mundur dan menghalang kemajuan negeri.
S: Rakyat Terengganu adalah antara yang
termiskin di Malaysia, walaupun negeri ini
sebenarnya kaya dari segi royalti minyak yang
diterimanya. Pada pandangan Puan, kenapa ini
terjadi dan apakah kerajaan baru Terengganu
mempunyai dasar khusus bagi menghadapi masalah
itu ?
J: Terengganu menjadi sinonim dengan gelaran
'Negeri Kaya Rakyat Miskin'. Ia berlaku kerana
kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) lalu yang
memerintah hampir 40 tahun. Kerajaan terdahulu
masih gagal untuk menaikkan taraf hidup rakyat.
Walaupun Terengganu sebuah negeri yang
terkenal kaya dengan sumber petroleum,
rakyatnya masih berada di tahap kemiskinan. Oleh
itu, kerajaan PAS Terengganu mempunyai garis
panduan tersendiri serta cara-cara untuk
menaikkan taraf hidup rakyat seperti pembahagian
tanah kepada rakyat yang telah berkeluarga dan
belum mempunyai tanah, membuka tanah-tanah
pertanian, perumahan, peluang perniagaan,
bantuan kepada golongan miskin, anak-anak
yatim, kemudahan pendidikan, serta bantuan
dalam industri kecil. Namun begitu, ia juga perlu
kepada kesabaran dan memakan masa tertentu.
Kita tidak perlu gopoh kerana PAS baru sahaja
mengambil-alih kuasa pemerintahan. Insya-Allah,
kerajaan PAS akan menunaikan segala janji-janji
manifesto mengikut bidang kemampuan dan kuasa
yang diperuntukan dalam perlembagaan. Mana
yang boleh dipercepatkan akan disegerakan
seperti penghapusan kutipan tol di Jambatan
Sultan Mahmud, cukai pintu rumah kediaman serta
kerja lima hari seminggu bagi kakitangan kerajaan
negeri. Insya-Allah, saya yakin dengan
kemampuan dan kepimpinan Menteri Besar
Terengganu, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
serta barisan Exco kerajaan negeri, pegawai
kerajaan yang baru mampu membawa negeri ini
maju ke hadapan seperti di negeri-negeri lain.