Pengarang Harakah didakwa di bawah
Akta Hasutan
KUALA LUMPUR, 12 Jan (Hrkh) - Pengarang
Harakah, Zulkifli Sulong didakwa dibawah
Akta Hasutan Seksyen 4 (1) (C) hari ini
berikutan dari tersiarnya kenyataan akhbar
yang dibuat oleh Timbalan Presiden
KeADILan, Dr. Chandra Muzafar dalam
Harakah 2 Ogos 1999 lalu.
Turut didakwa adalah pemilik lesen
Percetakan Prema, syarikat yang mencetak
Harakah, Chia Lim Thye. Bagaimanapun,
Dr. Chandra sendiri tidak didakwa kali ini.
Sebelum ini, Dr. Chandra pernah didakwa
berhubung dengan kenyataan beliau itu
tetapi telah ditolak oleh mahkamah.
Zulkifli dan Chia akan dibawa dibawa ke
Mahkamah Sesyen Jalan Raja dekat sini
pada jam 9.00 pagi 13 Januari untuk
didakwa atas dakwaan tersebut.
Beliau telah diiringi oleh ASP Goh Lee
Shen, Pegawai Penyiasat kes ini serta
Pengarah Urusan Harakah, Dato'
Hishamudin Yahya.
Mengikut Seksyen 4 (1) (c)Akta Hasutan
1948, mana-mana orang yang mencetak,
menerbitkan, menjual, menawarkan untuk
dijual, mengedar, atau mencetak semula
sebarang bahan berunsur hasutan adalah
bersalah mengikut akta ini.
Untuk kesalahan pertama, yang didapati
bersalah boleh dihukum tidak melebihi
RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi
tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Mengikut seksyen 9, akta tersebut juga,
pihak yang didapati bersalah di bawah
akta ini juga boleh dikenakan tindakan
tambahan termasuk menggantung permit
akhbar yang menerbitkan bahan yang
dikatakan berunsur hasutan tersebut tidak
melebihi setahun dari tarikh keputusan itu
dibuat.