Malam tadi, Khamis 23 Dis 99, jam 10.00 malam, puluhan ribu rakyat Terengganu
bersesak-sesak di Stadium Negeri untuk
buat pertama kalinya mendengar taklimat dari YAB Menteri Besar, Tuan
Hj. Guru Abdul Hadi Awang.
Saya sampai lebih kurang jam 8.45 malam, tapi agak terperanjat kerana
begitu banyak kereta memenuhi tepi jalan walaupun
sebahagian besar rakyat masih sibuk dengan solat terawikh di mesjid-mesjid.
Kalau tidak kerana musim tengkujuh dan bulan
Ramadhan, yang mana ramai yang agak keberatan untuk pergi kerana tidak
mahu melepaskan peluang bertarawikh, saya
percaya lebih ramai yang bersesak-sesak ke majlis tersebut.
Masuk sahaja ke dalam stadium tertutup tersebut, perasaan sayu berbaur
semacam tidak percaya mula mengganggu fikiran.
Apa tidaknya, baru sebulan lalu kami penyokong dan pejuang PAS di negeri
ini saban waktu terpaksa berlantaikan rumput dan
beratapkan langit untuk mendengar
ceramah, malah kekadang terpaksa berhujan, basah kuyup demi menagih
sedikit perkhabaran dari tokoh-tokoh PAS, tapi
malam tadi di dalam dewan tersebut, kerusi-kerusi tersusun rapi, siap
dengan pentas khas untuk dif-dif kehormat, dilengkapi
pula dengan sistem PA yang canggih. (Malangnya kualiti PA agak tidak
memuaskan kerana pantulan bunyi menyebabkan suara
Tuan Guru tidak jelas). Laluan Tuan Guru MB pula siap dengan hamparan
permaidani merah kerana majlis tersebut adalah
majlis resmi kerajaan negeri bertemu rakyat, anjuran Jabatan Hal Ehwal
Agama
Terengganu (JHEAT).
Lebih kurang jam 9.30 malam, orang ramai mula berpusu-pusu masuk ke
dalam dewan memenuhi setiap biji kerusi-kerusi yang
ada disekeling dewan dan kerusi tambahan yang diletakkan di tengah-tengah
dewan. Mana yang tiada kerusi, terpaksa duduk
di atas lantai di mana-mana sahaja yang kosong. Semua pintu-pintu masuk
di setiap penjuru jelas kelihatan rakyat
bersesak-sesak sambil berdiri kerana tiada lagi ruang kosong di bahagian
dalam. Begitulah senario yang dapat saya gambarkan
tentang sambutan hangat yang ditunjukkan oleh segenap lapisan rakyat
negeri Darul Iman
ini. Tiada lagi rasa takut, segan atau malu-malu lagi untuk menunjukkan
sokongan terbuka mereka terhadap perjuangan PAS.
Apabila Tuan Guru masuk ke dalam dewan, laungan takbir bergema menyambut
ketibaan beliau. Majlis dimulakan dengan
ucapan aluan oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu yang baru
dilantik. Selepas itu Tuan Guru memulakan ucapan
dan amanat beliau dengan mengingatkan kita dengan ucapan-ucapan pertama
Khalifah Abu Bakar dan Omar sebaik sahaja
mereka dilantik menjadi khalifah. Selepas itu beliau juga meminta kerjasama
dan kepatuhan dari semua pihak terhadap
kerajaan yang baru dipilih oleh rakyat bagi menjalankan kewajiban untuk
melaksanakan pemerintahan Islam sebagaimana yang
diperjuangkan oleh PAS. Banyak lagi amanat dan nasihat
yang diucapkan..........tapi saya tak ingat.
Majlis berakhir lebih kurang jam 11.00 malam. Dalam perjalanan keluar
Tuan Guru dan semua EXC-EXCO yang baru dilantik
telah dikerumuni oleh orang ramai untuk bersalam-salaman sehingga laluan
jalan keluar bersesak-sesak macam ikan sardin.
Allahuakbar........Maha Besar Allah yang mengurniakan kemenangan dan
kebahagian ini kepada kami rakyat Terengganu.
Alangkah damai dan tenangnya hidup ini berada di bawah naungan pemerintah
yang hanya takutkan Allah......bekerja hanya
kerana Allah dan rakyat jelata. Kalau disuruh pilih diantara kebendaan
dan duniawi......kami tetap memilih kebahagian ini.
Abu Ihsan
Terengganu Darul Iman............Datanglah ke Terengganu menyaksikan
kedamaian dan ketenangan hidup kami.