|
MEMBANGUN MENURUT ISLAM |
SHAHNON NAFI LEPASKAN AP
Harakah
Ahli Parlimen Sik, Dato' Profesor Emeritus Shahnon Ahmad menafikan akan
meletakkan jawatan sebagaimana yang dilaporkan
oleh media perdana untuk tujuan melemahkan semangatnya dan mewujudkan
kekeliruan di kalangan pengundi di parlimen
tersebut.
Menurutnya, untuk meletakkan jawatan tidak sekali-kali kerana kemenangan
ini dinanti-nantikan oleh rakyat di Sik ekoran
terlalu kecewa dengan bekas Ahli Parlimen Sik, Dato' Paduka Abdul Hamid
Othman yang sekarang menjawat jawatan di
Jabatan Perdana Menteri atas tiket senator.
"Saya tidak akan meletakkan jawatan sebagaimana yang diputar belitkan
oleh media sebaliknya akan memastikan pengundi di
parlimen dan Dewan Undangan Negeri memberikan kerjasama yang kuat bagi
melicinkan pentadbiran serta mendengar
rungutan rakyat," ujarnya.
Menyentuh mengenai kesihatannya beliau menambah, beliau akur dengan
kelemahan itu kerana tidak dapat bersama rakyat
senantiasa sebagaimana wakil rakyat yang lain bagi meninjau keseluruhan
kampung.
Setakat ini katanya, beliau banyak menghabiskan masa dengan merehatkan
diri di kediamannya di Pulau Pinang di samping
merawat penyakit yang dialaminya.
"Memang benar kesihatan saya agak uzur sejak kebelakangan ini maka sebab
itulah saya banyak berada di rumah daripada
melawat kawasan. Bukan saya tidak ingat kampung dan pengundi tetapi
apa boleh buat kesihatan yang tidak mengizinkan,"
terangnya yang membahasakan dirinya "Cikgu".
Menceritakan bagaimana berita ini boleh tersebar luas beliau menjelaskan,
memang hari itu ada temu janji dengan pemberita
sebuah akhbar perdana dan beliau menceritakan tentang kesihatannya
tetapi bila tersiar dalam televisyen lain pula jadinya.
"Saya tahu semua orang menonton TV3 dan membaca akhbar Utusan Malaysia
amat terkejut dengan keputusan saya itu
seolah-olah saya mahu letak jawatan. Tetapi pada hakikatnya ianya hanya
mainan musuh politik sahaja bagi mencelarukan
keadaan,""katanya yang juga bekas Pengarah Pusat Islam Universiti Sains
Malaysia (USM) Pulau Pinang.
Namun begitu, beliau yakin apabila kesihatannya pulih semula semua lawatan
ke kampung dan orang ramai akan disusun
semula oleh setiausaha peribadinya yang sentiasa berada di Pejabat
Khidmat Ahli Parlimen.
Bukan itu sahaja, bahkan melalui wakil rakyat Jeneri, Yahya Abdullah
dan Belantik, Haji Mohd Isa Shafie rakyat boleh adakan
hubungan untuk menyampaikan apa juga masalah.
"Rakyat usah risau kesihatannya sebaliknya bersama-sama berdoa agar
segar kembali dan dapat berkhidmat dengan berkesan
di samping dua Adun yang sedia ada," tegasnya sebagai ingatan.