PEMBAYARAN ROYALTI PETROLEUM OLEH PETRONAS
                                    KEPADA KERAJAAN NEGERI TERENGGANU
                                                                         OLEH

                                       SETIAUSAHA KERAJAAN TERENGGANU
 
 

                     1.Pembayaran Royalti Petroleum oleh Petronas kepada Kerajaan Negeri Terengganu
                        bukanlah isu Parti Pas. Ia adalah urusan Kerajaan Negeri menuntut hak bagi Negeri,
                        Kerajaan dan Rakyat Negeri Terengganu.

                      2.Pembayaran Royalti Petroleum ini menjadi hak kerajaan dan rakyat Negeri Terengganu
                        kerana terdapat satu perjanjian yang ditandatangani dan dimeterai oleh Petronas dan
                        Kerajaan Negeri pada 22 Mac 1975. Dalam perjanjian itu disebut dengan jelas bahawa
                        royalti akan dibayar secara tunai sebanyak 5% kepada Kerajaan Negeri oleh Petronas
                        dari perolehan kasar yang didapati oleh Petronas dari jualan minyak dan gas yang
                        dikeluarkan di daratan dan di luar pantai Negeri Terengganu.

                      3.Perjanjian di antara Petronas dan Kerajaan Negeri Terengganu tentang pembayaran 5%
                        royalti ini adalah berikutan dengan pengujudan Akta Kemajuan Petroleum 1974 di mana
                        hakmilik sumber petroleum dan gas diserah kepada Petronas. Sebelum akta ini
                        dikanunkan Petroleum dan gas ditafsirkan sebagai sama dengan sumber galian yang lain
                        seperti emas, bijih timah, bijih besi, tembaga, bauxite dan lain-lain. Bagi
                        sumber-sumber galian ini menurut undang-undang tanah dan galian adalah kepunyaan
                        Kerajaan Negeri sekiranya ianya terjumpa di kawasan daratan. Justeru itu, sekiranya
                        petroleum dan gas dijumpai di daratan Negeri Terengganu, sebelum Akta Kemajuan
                        Petroleum 1974 dikanunkan, maka sumber petroleum dan gas itu adalah kepunyaan
                        Kerajaan Negeri. Bagi mengelakkan keadaan sedemikian berlaku dan bagi menentukan
                        sumber petroleum dan gas dimiliki oleh Petronas di mana saja ianya dijumpai di
                        Malaysia, baik dalam laut atau di daratan maka Akta Kemajuan Petroleum 1974
                        dikanunkan dengan Kerajaan Negeri menyerahkan haknya bagi sumber petroleum dan
                        gas sekiranya dijumpai di daratan.

                        Dengan penyerahan haknya atas sumber petroleum dan gas di daratan ini maka satu
                        perjanjian ditandatangani pada 22 Mac 1975 di antara Petronas dan Kerajaan Negeri
                        menetapkan Petronas kena bayar 5% royalti kepada Kerajaan Negeri di atas hasil kasar
                        yang diperolehi dari sumber petroleum dan gas baik dijumpai di daratan mahupun di
                        lautan.

                      4.Petroleum dan gas mulai dikeluarkan oleh petronas pada tahun 1978 berdasarkan
                        kepada ‘production sharing agreement’ dengan kontraktornya terutama EPMI. Mulai
                        tahun 1978 Kerajaan Negeri Terengganu telah menerima royalti petroleum dari
                        petronas sehinggalah tahun 1999. Jumlahnya adalah sebanyak RM 13.2 juta pada tahun
                        1978 dan RM498.7 juta pada tahun 1999. Selama 22 tahun Kerajaan Negeri menerima
                        royalti petroleum 5% ini dan tidak semena-mena dalam tahun 2000 royalti ini
                        diberhentikan dan ditubuhkan Wang Ihsan. Royalti dan Ihsan mempunyai erti yang
                        berlainan. Royalti adalah bayaran yang diwajibkan manakala ihsan adalah pemberian atas
                        kasihanbelas, derma yang tidak diwajibkan. Perbezaaan inilah yang dimaksudkan
                        Kerajaan Persekutuan telah merampas hak Kerajaan Negeri.

                      5.Wang Ihsan ini tidak pula disalurkan terus kepada Kerajaan Negeri tetapi ditubuhkan
                        Jawatankuasa Peringkat Pusat (JPP) untuk mentadbir dan mengurus wang ihsan ini.
                        Adakah patut sebuah Kerajaan yang telah diberi mandat secara sah oleh rakyat untuk
                        mengurus dan mentadbir sesebuah negeri termasuk menggubal dasar, pelaksanaan dan
                        pengurusan kewangan dipindahkan kepada sebuah Jawatankuasa Peringkat Pusat yang
                        tidak tahu secara dekat tentang kemahuan dan hasrat kerajaan dan rakyat Negeri
                        Terengganu. Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri merangkap ADUN Pengkalan
                        Berangan dalam persidangan DUN pada 12 September 2000 menyatakan penubuhan
                        JPP merupakan satu tamparan dan penghinaan kepada kakitangan pentadbiran awam di
                        Negeri Terengganu. Dianggap seolah-olah kita kakitangan awam peringkat Negeri
                        tidak bertanggungjawab, tidak pandai merancang dan mengurus hasil atau wang yang
                        diterima oleh Kerajaan Negeri. Perlu orang lain, satu jawatankuasa, satu ‘remote
                        control’ untuk memberitahu, mengarah apa yang patut kita buat. Dua puluh dua tahun
                        sudah kita mengurus dan mentadbir wang royalti ini dan saya percaya pentadbir dan
                        kakitangan Negeri Terengganu lebih arif dan memahami kehendak kerajaan dan rakyat
                        negeri ini.

                      6.Walaupun kecewa dengan tindak tanduk kerajaan pusat itu, kakitangan awam Negeri
                        Terengganu hendaklah bangkit membuktikan bahawa kita mampu mentadbir,
                        mengurus, merancang dan melaksana program, projek, aktiviti kerajaan di Negeri ini
                        setanding jika tidak lebih hebat dari apa yang dilaksanakan di peringkat persekutuan.
                        Sebelum inipun telah terbukti kita mampu; dengan jabatan-jabatan/agensi Kerajaan
                        Negeri memenangi beberapa anugerah dan hadiah yang dipertandingkan di peringkat
                        persekutuan. Kita kakitangan awam Negeri mesti terus mempertingkatkan prestasi
                        kita dalam menunaikan tugas dan tanggungjawab.

                      7.Dengan terhentinya pembayaran royalti ini hasil negeri terjejas dengan banyaknya. Pada
                        kadar harga petroleum hari ini yang agak tinggi iaitu US$35.00 satu tong royalti yang
                        patut diterima oleh Kerajaan Negeri adalah dalam linkungan RM1 billion setahun.
                        Bayangkanlah betapa banyak hasil Kerajaan Negeri yang ditahan oleh Kerajaan Pusat.
                        Duit inilah kita buat bayar gaji dan elaun, bayaran utiliti, pemilikan harta modal, bayaran
                        tanggungan, caruman kepada badan-badan kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan tidak
                        ketinggalan membiayai projek-projek pembangunan untuk faedah rakyat dan
                        kesejahteraan rakyat dan perkembangan dan kemajuan ekonomi negeri untuk masa
                        depan. Ini meliputi pembinaan kemudahan-kemudahan bagi rakyat seperti rumah kos
                        rendah, jalan, bekalan air, bekalan letrik, perparitan, saliran dan lain-lain. Juga
                        membiayai pembangunan pertanian, perindustrian dan pendidikan. Hasil dari royalti ini
                        diguna untuk projek-projek negeri. Manakala projek persekutuan seperti sekolah,
                        PPRT, hospital, klinik, jalan persekutuan termasuk lebuhraya adalah dibawah
                        peruntukan persekutuan dan tidak berkait dengan wang royalti. Sekiranya wang royalti
                        yang ditukar kepada wang ihsan diguna untuk membiayai projek-projek persekutuan
                        maka ini adalah tidak betul. Saya berharap ini tidak akan berlaku. Jika tidak ini
                        bermakna Kerajaan Negeri membiayai projek persekutuan.

                      8.Tanpa pendapatan dari royalti petroleum hasil negeri dari punca lain dalam keadaan
                        sekarang adalah dianggarkan sebanyak RM180 juta sahaja setahun. Gaji kakitangan di
                        Jabatan Kerajaan Negeri yang mempunyai ‘establishment’ adalah sebanyak RM146 juta
                        setahun. Ini tidak termasuk gaji untuk kakitangan kontrak dan sambilan, bayaran utiliti,
                        elaun-elaun dan gaji bagi kakitangan badan-badan berkanun, agensi dan pihak berkuasa
                        tempatan. Hakikatnya, tanpa bantuan lain atau punca hasil lain keadaan kewangan
                        negeri adalah amat tenat. Dalam keadaan tenat kita mestilah sentiasa berjaga-jaga,
                        dalam kawalan setiap ringgit yang kita belanjakan. Di sini kita amat perlu kepada
                        keperihatinan, kefahaman dan pengorbanan kakitanan awam di Negeri Terengganu.

                      9.Dengan kesuntukan kewangan negeri maka beberapa langkah terpaksa diambil dan
                        dipohon keperihatinan, kefahaman dan pengorbanan kakitangan awam di Negeri
                        Terengganu iaitu:-

                           a.Perbelanjaan-perbelanjaan mengurus akan dikawal dengan rapi. Sekiranya
                             permohonan perbelanjaan terpaksa ditolak maka diharapkan kakitangan awam
                             negeri memahami kedudukannya.

                           b.Peraturan-peraturan dan pekeliling-pekeliling Kerajaan hendaklah dipatuhi
                             sepenuhnya. Peraturan dan pekeliling baru akan dikeluarkan berkait dengan
                             penjimatan perbelanjaan.

                           c.Kakitangan perkhidmatan awam negeri boleh memberi sumbangan bermakna
                             kepada Kerajaan dengan meningkatkan prestasi kerja. Gandakan output kerja
                             kita. Sebagai contoh pengeluaran surat hakmilik tanah. Lebih banyak hakmilik
                             tanah dikeluarkan maka lebih cepat Kerajaan dapat memunggut hasil tanah.

                           d.Kerajaan sedang mengkaji langkah-langkah yang boleh diperkenalkan untuk
                             meningkat punca hasil negeri.

                      1.Terdapat kakitangan Kerajaan Negeri yang merasakan Kerajaan Negeri tidak berkuasa
                        lagi tanpa hasil royalti petroleum. Sehinggakan terdapat kakitangan awam sanggup
                        bersikap anti kerajaan melalui tindakan-tindakan mereka. Amalan sebegini adalah amat
                        bertentangan dengan Perintah Am dan Peraturan Pentadbiran. Kakitangan awam
                        hendaklah bersikap berkecuali dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab rasminya
                        dan hendaklah patuh kepada dasar yang ditetapkan oleh Kerajaan yang memerintah
                        pada masa kini. (abide by the Government of the day).

                      2.Bersama-samalah kita berdoa kepada Allah s.w.t. semuga hak Kerajaan dan rakyat
                        Negeri akan dikembalikan kepada yang hak. Allah s.w.t. telah berfirman yang
                        bermaksud yang benar tetap benar dan yang batil tetap batil. Disamping itu
                        bersama-sama jua kita berusaha dan bertindak bagi menghadapi situasi yang ujud ini.
 
 

                   Sekian.