Sultan nafi tidak pernah minta tanah:
Krisis Pemuda PAS dan istana sewajarnya
telah selesai
Isu
memorandum mengenai 'Sultanate Land' kini semakin dikelirukan apabila kelihatan
wujud percanggahan fakta mengenai perkara tersebut di antara pegawai kanan
kerajaan negeri.
Setiausaha Kerajaan Negeri
(SUK), Dato' Wan Hashim Wan Daud mengakui adanya memorandum yang diserahkan
kepada kerajaan negeri mengenai perkara tersebut.
Bercakap pada sidang medianya,
30 Januari lalu, beliau dilaporkan berkata, perkara itu masih lagi di peringkat
penyediaan konsep bagi projek pembangunan ekonomi negeri.
"Konsep tanah ladang tersebut
selaras dengan dasar utama kerajaan negeri bagi menjadikan Kelantan sebagai
jelapang makanan," katanya.
Menurutnya, selaku Setiausaha
Kerajaan, beliau mencadangkan perkara itu seumpama projek mega negeri lain,
bagi mengubah ekonomi Kelantan. Beliau juga menganggap memorandum berkaitan
tanah kesultanan tidak dianggap sebagai permohonan rasmi untuk mendapatkan
tanah.
Bagaimanapun pada sidang
media di sini, sehari selepas itu, pihak istana melalui Pengelolanya, Jamil
Mohamad berkata, berdasarkan kepada surat yang dihantar kepada Menteri
Besar, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dipetik menjawab, di atas batang
tubuh sultan, sebelum 7 Januari 2001, belum pernah memohon mendapatkan
tanah di bawah Sultanate Land.
Berpandukan kepada dua kenyataan tersebut, menurut pemerhati politik, jelas wujud kekeliruan, di mana satu pihak mengakui ada memorandum dan di pihak satu lagi menafikan dokumen tersebut dibuat pihak istana. Bagaimanapun, jika dilihat secara halus kepada kenyataan istana terdekat itu ternyata, kenyataan itu hanya menafikan permohonan dibuat atas nama 'batang tubuh' sultan Kelantan. Menteri Besar Kelantan juga membuat pengesahan bahawa tidak ada permohonan dibuat atas nama 'batang tubuh' sultan.Adakah boleh diterima, jika tidak ada permohonan dibuat atas nama 'batang tubuh' sultan bermakna, istana tidak membuat permohonan tersebut.
Ataupun jika istana benar-benar tidak membuat permohonan tersebut, siapakah selama ini yang membuat pelbagai permohonan atas nama istana tersebut. Sebelum itu, Menteri Besar berkata, isu tanah kesultanan merupakan perkara lama yang berlarutan sejak zaman Dato' Ishak Lotfi menjadi Menteri Besar (akhir 1960-an). Katanya, ia berpunca daripada pengambilan tanah kepunyaan sultan dan kerabat baginda di persekitaran Istana Balai Besar oleh kerajaan negeri untuk dibangunkan. "Sewaktu saya menjadi Menteri Besar, perkara ini diangkat kembali melalui satu memorandum yang dibawa oleh pihak pegawai tinggi kerajaan. Saya memaklumkan kepada mereka bahawa hal ini akan cuba diselesaikan kerajaan negeri," katanya pada kenyataan akhbar yang dibaca Setiausaha Akhbarnya, Ustaz Mohd Fauzi Zakaria.
Menteri Besar berkata, ekoran itu, beliau meminta timbalannya, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman mewujudkan sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan Timbalan Menteri Besar itu sendiri dan turut dianggotai beberapa Exco dan pegawai tinggi kerajaan. "Pejabat Menteri Besar masih berpegang kepada kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz tersebut," kata Setiausaha Politiknya, Annual Bakhri Harun. Sehubungan itu, beliau menyifatkan kenyataan media yang dibuat oleh SUK seperti disiarkan akhbar 31 Januari, cuba mengheret Menteri Besar dalam kemelut yang berlanjutan. Menurutnya, ia pula dibuat tanpa merujuk secara khusus kepada Menteri Besar terlebih dahulu. Kata Annual, Pejabat Menteri Besar hanya menerima salinan kenyataan penuh Dato' Wan Hashim pada pagi Rabu 31 Januari lalu, iaitu selepas sehari diserahkan kepada pihak media. Beliau juga merujuk kepada kenyataan Pengarah Tanah dan Galian, Dato' Mohd Yusof Noh, dilakukan tanpa merujuk kepada Menteri Besar terlebih dahulu. "Ini jelas sekali tidak selari dengan Perintah Am Bab D 17 (1), di mana pernyataan awam dilarang, kecuali selepas mendapat kelulusan secara bertulis sama ada secara am atau khusus daripada Menteri Besar," ujarnya.
Mohd Yusof pada sidang medianya, dipetik berkata, pihaknya tidak pernah menerima sebarang permohonan tanah milik kerajaan negeri daripada istana. Annual berkata, beliau bersetuju dengan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Wilayah, Haji Takiyuddin Hassan yang menganggap pegawai terbabit melanggar Peraturan 17, Perintah Am, di mana seseorang pegawai tidak boleh sama ada secara lisan atau bertulis membuat apa-apa kenyataan awam berhubung apa-apa dasar, program dan keputusan kerajaan. Katanya, kenyataan Wan Hashim seperti yang disiarkan akhbar adalah pandangannya sendiri.Serentak itu, beliau berharap pegawai kerajaan hendaklah mematuhi Perintah Am. Pemerhati politik berpendapat, pihak-pihak terbabit cuba bermain tarik tali dan mengambil kaedah yang kurang jelas bagi menceritakan perkara sebenar.
"Berdasar kepada penjelasan
yang diberi pihak-pihak terbabit, sememangnya tidak ada permohonan tanah
dari pihak sultan menggunakan nama batang tubuhnya baginda setakat ini."Penggunaan
nama baginda memang tidak wujud dalam kes ini, namun mengapa memorandum
yang mengaitkan tanah kesultanan dibawa pegawai tinggi tertentu kepada
Menteri Besar.
"Penglibatan pegawai kanan
dalam kes ini, menjadi persoalan sama ada ia dibuat atas arahan pihak tertentu
atau sebaliknya," katanya. Sebelum ini, kenyataan Timbalan Setiausaha Kerajaan
Negeri, Dato' Wan Mohamad Wan Konok menjelaskan, sultan tidak pernah memohon
biarpun seinci tanah daripada kerajaan menggunakan nama baginda.Penjelasan
dibuat Wan Mohamad, mewakili pihak istana di atas status yang tidak jelas,
memang boleh diterima kerana tiada permohonan dibuat menggunakan nama sultan.
Sebaliknya, pengelola istana,
Jamil Mohamad tidak menolak kemungkinan ada pihak lain menggunakan nama
sultan untuk memohon tanah kerajaan negeri. "Kemungkinan ada parti-parti
politik tertentu yang menggunakan nama baginda sultan untuk kepentingan
mereka, saudara-saudara wartawan boleh merujuk kepada borang 49 di Pejabat
Pendaftaran Syarikat," katanya.
Isu ini menjadi semakin
celaru kerana pihak yang membawa memorandum kepada Menteri Besar cuba disembunyikan.Adakah
lojik pula hendak diletak sasaran kepada pihak tertentu yang mewakili parti
politik, sedangkan sudah jelas ada pihak bersedia bertanggungjawab mengenai
memorandum tersebut.Wan Hashim secara terbuka sudah mengakui kepada umum,
dia mengambil tanggungjawab kepada tiga perkara utama iaitu isu berkaitan
pelantikan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), permohonan
tanah oleh istana dan penarikan balik darjah kebesaran negeri dari dua
anggota Exco, Ustaz Mohamed Daud dan Takiyuddin Hassan. Wan Hashim dipetik
memberitahu, isu tanah kesultanan masih di peringkat cadangan dan penyediaan
konsep. Bila disandarkan kepada penjelasan tersebut, Setiausaha Kerajaan
Negeri seperti mengetahui mengenai tanah kesultanan yang diriuh rendahkan
kebelakangan ini.
Soalnya, penggunaan nama sultan secara batang tubuh tidak timbul, namun apa yang perlu diperjelaskan isu tanah kesultanan sememangnya wujud. Persoalan pihak mana yang mengemukakan tidak penting lagi, kerana sudah ada individu yang mengaku mengenai penyediaan konsep permohonan berkenaan.Mengikut laporan akhbar sebelum ini, mesyuarat mengenai tanah kesultanan diadakan pada 7 Januari lalu, yang dipengerusikan Timbalan Menteri Besar. Menurut sumber, hadir sama mesyuarat tersebut, lima anggota Exco dan dua pegawai kanan kerajaan negeri. Sumber dipetik dari akhbar memberitahu, Ustaz Mohamad dan Takiyuddin dikatakan membuat bantahan berhubung jumlah asal tanah yang dipohon. Sumber lain memberitahu, Exco terbabit mahu jumlah tanah yang dipohon dikurangkan dari jumlah asalnya. Ekoran wujud bantahan tersebut, mesyuarat berkenaan belum membuat apa-apa keputusan muktamad, dan mesyuaratnya ditangguh kepada satu tarikh lain pula.
Selepas itu, pada 9 Januari,
dua anggota Exco terbabit pula menerima surat daripada istana meminta dihantar
balik darjah kebesaran yang mereka terima. Surat yang ditandatagani Serpuddin
Mohamad tidak pula menyatakan sebab darjah kebesaran tersebut ditarik balik.
Mengikut kronologinya, kemungkinan permohonan tanah kesultanan yang dimaksudkan
Menteri Besar sebelum ini, ialah apa yang dibincangkan pada mesyuarat yang
dipengerusikan Ustaz Abdul Halim.Isu tanah kesultanan berdasarkan penjelasan
beberapa pihak, ia sememangnya wujud, cuma bukan menggunakan nama batang
tubuh sultan
Dua hari selepas mesyuarat
ditangguh, istana menarik balik darjah kebesaran yang diberi anggota Exco
terbabit. Tarikh penarikan yang tidak jauh daripada tanggal mesyuarat,
membincangkan tanah kesultanan telah memberi ruang kepada banyak pihak
membuat andaian. Dewan Pemuda Pusat (DPP) dan Kelantan mahu penjelasan
secara ikhlas dibuat untuk memberitahu punca sebenar darjah kebesaran ditarik.
"Bukan darjah kebesaran dan bintang yang menjadi fokus, namun sebab-sebab lojik mengapa perkara seperti itu boleh berlaku dipersoalkan," kata Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar. Mungkin tidak keterlaluan dikatakan, tidak wujud keikhlasan sebenar pihak tertentu mengenai isu yang berbangkit.Ekoran penglibatan secara langsung DPP, menyebabkan banyak pihak cuba menunding jari kepada mereka kerana menghangatkan lagi drama yang dilakonkan. Sebenarnya, pemuda musykilkan sebab musabab sesuatu yang berlaku dan pihak yang sering memalu gendang beragenda ialah media.Bagaimanapun, seorang tokoh veteran PAS Kelantan berkata, selepas penafian istana bahawa sultan tidak pernah membuat sebarang permohonan tanah, sepatutnya isu ini tamat di sini. "Kerajaan tidak perlu mempertimbangkan sebarang permohonan yang dikatakan dari istana itu kerana jelas ia bukan dari istana.
"Istana pula tidak perlulah
menarik balik pingat kepada Takiyudin dan Mohamad Daud kerana yang mereka
bantah, kalau benar ada bantahan ini, bukan terhadap permohonan istana
lagi kerana sultan tidak pernah membuat sebarang permohonan tanah sebagaimana
yang dinyatakan istana," kata tokoh veteran PAS itu.
Sumber : Harakahdaily