Assalamu Alaikum Wrh Wbt
Barisan pemerintah PAS di Terengganu,
Setinggi-tinggi tahniah di atas kejayaan besar dalam pilihan raya yang
baru
berlalu. Perkembangan karier politik Tuan Haji Hadi telah saya ikuti sejak
saya di bangku sekolah lagi. Karisma dan komitmen beliau sangat sukar
untuk ditandingi. Semoga sifat-sifat baik beliau akan dapat ditunjukkan
dalam pemerintahan 'percubaan' beliau di Terengganu.
Rakyat semua bangsa dan agama tentunya ternanti-nanti untuk mengetahui
formula apa yang akan Tuan Hadi dan rakan-rakan akan gunakan untuk
menjernihkan imej buruk falsafah politik PAS yang telah dicanang sejak
sekian lama oleh kerajaan BN.
Dalam masa orang-orang bukan Islam masih ada sedikit kepercayaan
untuk mencuba sesuatu yang baru yang Barisan Alternatif tawarkan, amat
ramai orang Islam sudah terang-terangan menentang pakatan 'kafir-Islam',
undang-undang Islam, kehilangan status ketuanan Melayu dan sebagainya
yang PAS 'dikatakan' laung-laungkan.
Tugas yang Tuan Hadi dan rakan-rakan dukung bukan enteng. Sebarang
kesilapan langkah dalam diplomasi politik akan menjadi fitnah yang besar
kepada Islam dan politik PAS.
Saya ingin menyeru kepada barisan pentadbir PAS Terengganu untuk
sangat menghormati sensitiviti semua agama dan semua kaum. Kerakusan
menggubal dan melaksanakan pelbagai undang-undang baru tidak
semestinya dapat menggambarkan kemuliaan Islam.
Kemuliaan kita disisi Allah bukan hanya kerana agama yang kita warisi,
tetapi ketakwaan. Kepercayaan kepada kebesaran Allah adalah
kepercayaan yang sepatutnya membawa kepada sifat rendah diri, kasih
sayang dan belas ikhsan sesama insan .
Pada masa yang sama tanggung jawab terhap insan yang Allah
pertanggungjawabkan keatas setiap pemimpin memerlukan pandangan
jauh, kebijaksaan, pembangunan ilmu yang berterusan dan sifat adil
saksama yang tidak terbatas oleh agama atau bangsa.
Kalau ini kualiti yang kerajaan PAS bangunkan, tidak ada sebab mengapa
rakyat tidak jatuh cinta dengan agama yang sungguh sempurna ini.
Penyediaan akar umbi seperti ini jauh lebih penting dari mencanangkan ke
sana sini cukai kaedah Islam, Hudud dan sebagainya.
Sistem Islam dengan sendirinya akan jadi pilihan masyarakat. Kerajaan
PAS perlu bersabar dalam mengasuh rakyat untuk memahaminya dengan
penuh kebijaksanaan.
Semoga Tuan Haji Hadi dan rakan seperjuangan tidak mensia-siakan
kepercayaan yang diberi oleh rakyat Terengganu, dan peluang untuk
mempamirkan kebaikan Islam kepada seluruh masyarakat Malaysia.
Saya berdoa kepada Allah untuk sentiasa memberi petunjuk kepada
semua pencinta dan pejuang agama Islam ke arah yang benar dan yang
diredhaiNya.
Adam Schmidt Ali
London