Tadika Kemas masih guna 350 balai raya

KUALA TERENGGANU, 21 Mac (Hrkh): Kemas Terengganu masih menggunakan 350 daripada 636 balai raya di bawah kerajaan negeri seluruh negeri ini untuk dijadikan Tadika Kemas sehingga Februari lalu.

Harakah difahamkan, pihak Kemas negeri tidak pernah membuat permohonan untuk menggunakan balai raya untuk dijadikan tadika bagi tahun 2001.

Di daerah ini, Kemas menggunakan 139 daripada 210 balai raya untuk kelas tadika, Hulu Terengganu (Kemas 48 daripada 96 balai raya), Besut (51-78), Marang (48-72), Setiu (15-70), Kemaman (34-63) dan Dungun (19-47).

Selain itu, pihak Jabatan Perpaduan juga menggunakan sembilan balai raya di negeri ini untuk menjalankan kegiatannya. Kemurahan hati kerajaan negeri yang masih mengizinkan pihak Kemas menggunakan balai raya untuk dijadikan kelas tadika sepatutnya dihargai oleh semua pihak.

Semua balai raya di negeri ini yang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dipertanggungjawabkan kepada Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) di tempat masing-masing.

Sehubungan itu, pihak JSR berhak mengarahkan kepada mana-mana pihak yang menggunakan balai raya supaya menghentikan aktiviti mereka di balai raya sekiranya mengganggu sesuatu program kerajaan yang dilaksanakan oleh JSR yang melibatkan kepentingan orang ramai.

Kenyataan Pengarah Kemas negeri, Azeman Md. Yusof, yang akur dengan tindakan JSR Kg. Bukit Tok Ris, dekat sini yang mengarahkan pihak Tadika Kemas mengosongkan balairaya di kampung itu adalah wajar.

Beliau dalam kenyataannya yang disiarkan dalam Berita Harian hari ini berkata, Kemas sudah mempunyai bangunan baru di kampung itu untuk dijadikan tadika bagi membolehkan 14 pelajar meneruskan pembelajaran.