Tiada permit penerbitan:
              Harakah edisi Jumaat tidak dikeluarkan

 

              KUALA LUMPUR, 1 Mac  - Harakah edisi Jumaat ini
              tidak dikeluarkan berikutan permohonan permit penerbitan
              Harakah masih belum diluluskan oleh Kementerian Dalam
              Negeri (KDN).

              Pengarah Urusan Harakah, Dato' Hishamuddin Yahya
              berkata, permit Harakah berakhir pada 28 Feb lepas dan
              Harakah masih belum mendapat apa-apa keputusan
              daripada KDN mengenai permit itu.

              "Walaubagaimanapun, kami akan mencetak Harakah
              sekiranya permit penerbitan diberikan petang ini," katanya
              dalam sidang akhbar di sini hari ini.

              Dua hari lepas, Harakah menghantar surat kepada KDN
              yang ditandatangani oleh Hishamuddin mengenai
              keputusan permohonan itu.

              "Kami kesal dengan tindakan KDN kerana tidak memberikan
              apa-apa keputusan yang menyebabkan kesukaran kepada
              Harakah dan ahli-ahli PAS yang membeli Harakah," katanya.

              Beliau menjelaskan, Harakah dinasihatkan oleh pegawai
              KDN agar tidak mencetak akhbar itu sehingga permit
              diluluskan oleh pihak mereka.

              Ketika ditanya oleh pemberita samada Harakah akan
              mengambil apa-apa tindakan sekiranya permit akhbar itu
              tidak diluluskan, Hishamddin berkata, "itu terserah kepada
              Jawatankuasa (PAS) Pusat".

              "Kami memohon maaf kepada pembaca Harakah dan
              pengedar berikutan kesukaran yang dihadapi ini," ujarnya.

              Menurutnya, beliau tidak menjangka permit tidak
              dikeluarkan kerana kebiasaannya permit akan dikeluarkan
              pada saat-saat akhir.

              "Kami tidak pasti samada ia sengaja dilewatkan atau ia
              disebabkan oleh pengurusan yang tidak efisien oleh KDN,"
              katanya.

              Harakah edisi Jumaat akan terus dikeluarkan di
              www.harakah.net atau www.harakahdaily.com selepas ini.