KUALA TERENGGANU 21 DIS---- Anggota
majlis mesyuarat kerajaan
(exco) Terengganu dan juga Ahli Parlimen Dungun,
Mustafa Ali, menafikan laporan akhbar yang
menyebutkan beliau dan Menteri Besar Abdul Hadi
Awang, juga Ahli Parlimen Marang, akan
melepaskan kedudukannya sebagai wakil rakyat di
dua kawasan itu.
Mustafa memberitahu malaysiakini petang tadi
bahawa laporan itu tidak berasas sama sekali dan
"100 peratus tidak benar." "Kami tidak tahu dari
mana akhbar mengambil cerita itu," katanya. "Kami
masih lagi penat bertanding dalam pilihan raya,"
tambahnya. "Bagaimana mungkin kami berkempen
semula untuk dua lagi pilihan raya kecil?"
Sabtu lalu, sebuah akhbar berbahasa Melayu,
Berita Harian, melaporkan di halaman depan
kemungkinan Hadi dan Mustafa meletakkan
jawatan ahli parlimen masing-masing bagi
menumpukan perhatian hal-ehwal pentadbiran
negeri.
Laporan itu memetik sumber-sumber sebagai
berkata bahawa PAS berhasrat mencalonkan
tokoh ulama Dr Haron Din bagi kawasan parlimen
Marang, sementara bekas pensyarah Universiti
Islam Antarabangsa Dr Badrul Amin menggantikan
Mustafa di Dungun.
Menurut laporan itu lagi, pemilihan tokoh-tokoh
berpendidikan Islam itu bertujuan meningkatkan
penyertaan ulama PAS di peringkat Dewan Rakyat.
Spekulasi tentang hal itu semakin meluas semalam
apabila hanya Hadi dan Mustafa tidak menghadiri
sidang pertama Dewan Rakyat dan majlis
mengangkat sumpah seramai 193 anggota dewan.
Bagaimanapun, sumber-sumber dalam PAS
menjelaskan kedua-duanya tidak dapat hadir di
sidang itu kerana terpaksa menghadiri sidang
dewan undangan negeri di Kuala Terengganu.
Sementara itu, pembentangan belanjawan
Terengganu, yang diumumkan hari ini,
menjangkakan lebihan RM8.475 juta atau 1.22
peratus daripada pendapatan yang dijangkakan.
Abdul Hadi yang membentangkan belanjawan itu di
sidang pertama Dewan Undangan Negeri di Wisma
Darul Iman, berkata hasil pendapatan dari royalti
petroleum dan gas adalah sumber terbesar
pendapatan kerajaan negeri, sebanyak RM530
juta.
"Prospek ekonomi Terengganu bagi tahun 2000
dianggarkan mengalami pertumbuhan sebanyak 5.3
peratus," jelasnya.
Hadi juga menjelaskan memandangkan kerajaan
Barisan Nasional meninggalkan beban hutang lebih
RM731.334 juta, kerajaan PAS akan menubuhkan
satu jawatankuasa hisbah untuk menilai semula
sistem pentadbiran kerajaan negeri. Usaha ini
termasuklah menyusun semula peranan dan tugas
badan-badan berkanun bagi mengurangkan
perbelanjaan.
Selain itu, kerajaan negeri jua akan membuka
semula permohonan untuk mendapatkan tanah
bagi tempat kediaman dan tujuan-tujuan komersial