MENGAPA
SAYA TULIS “TIGA ABDUL”
Reaksi Sayuti Omar
SEPERTI yang tercatat di kulit buku Hikayat
Tok Guru dan Tiga Abdul (Tiga Abdul), buku saya yang ke-23 itu agak berlainan
daripada buku-buku mengenai Kelantan sebelumnya. Ia dikira menentang arus
dan agak kontroversi.
Kehadirannya tidak disenangi banyak pihak
dalam PAS, terutama di luar Kelantan. Buku itu menyebabkan saya dinilai
semula oleh ahli dan penyokong PAS. Ada yang terus prejudis dan bertanya
siapakah saya sebenarnya? Seterusnya mempersoalkan nawaitu saya menulis/menerbit
buku itu. Dituduh saya penulis upahan dan cuba hendak memecahkan PAS. Ada
juga mendakwa isu yang saya tonjolkan itu remeh temeh dan soal titik bengik,
sama dengan masalah kupiah di atas kepala pemimpin PAS.
Reaksi yang begitu "panas" tentunya datang
dari tokoh-tokoh yang saya perkatakan dalam buku itu. Ada yang bercadang
menyaman saya, tidak kurang pula yang melarang buku itu dijual di kaki
lima pejabat PAS. Lebih menakjubkan, ada juga yang mengatakan saya telah
kaya apabila sebanyak 5,000 naskhah Tiga Abdul dijual kepada Umno untuk
diisikan dalam beg perwakilan Umno.
Saya tidak marah. Saya bukan sehari dua menulis.
Bukan juga pertama kali saya membantai tokoh politik. Hatta mantan TPM
Anwar Ibrahim pernah menjadi mangsa kritikan saya 10 tahun lalu. Insiden
saya dengan Anwar dirasakan lebih serius, apabila saya hampir-hampir bertumbuk
gara-gara sebuah buku saya yang diterbitkan tahun 1990.
Mengenai tuduhan penulis upahan, juga perkara
biasa. Ugutan, ancaman dan mahkamah juga terlalu biasa. Ahmad Lutfi Othman,
Syed Hussein Alattas dan rakan-rakan penulis lain tahu akan segala musibah
dan bahana selaku penulis ini.
Setiap keluar sebuah buku kami akan berhadapan
dengan situasi pro dan kontra, puja dan
keji. Pihak yang dikritik akan melenting
lenting, manakala yang beruntung tidak cukup bahasa memuja dan memuji.Di
Kelantan, sewaktu saya berhempas pulas berdepan dengan para penyokong istana
yang kurang senang dengan buku nipis saya yang mengkritik istana dan Sultan
Kelantan, kebanyakan ahli dan pemimpin PAS bertepuk tangan menyokong. Tidak
ada seorang pun pemimpin PAS yang memandang jijik dan hina buku itu. .
Tetapi apabila saya alihkan pena dan curahkan
dakwat menyahut cabaran rakyat, orang yang bertepuk tangan itu bertindak
sebaliknya. Mereka melupai pujian sebelum ini dan melemparkan pelbagai
tuduhan dan kecaman. Seolah-olah dulu saya bagai Jebat kini bertukar menjadi
jahat seakan Patih Karma Wijaya.
Namun ia tidak mengikis semangat dan keazaman
saya untuk terus berkata benar dan membongkarkan segala kebusukan tanpa
mengira kawan dan lawan. Pun begitu saya tidak salahkan mereka yang menuduh
saya. Mereka tidak dapat menyelam apa yang berada di dasar hati saya. Sebagai
penyokong dan pendokong (taksub) kepada tokoh tertentu, mereka wajar bersikap
demikian.
Sebagai ahli parti mereka harus menjaga PAS
agar tidak diburukkan. Mereka terpaksa turut sama menarik selimut menyembunyikan
keburukan untuk menampakkan parti mereka tetap putih dan bersih.
Namun begitu, puluhan panggilan telefon dan
e-mail yang saya terima mengucapkan terima kasih dan tahniah di atas penerbitan
Tiga Abdul. Mereka lebih mengutamakan kewarasan dan rasional dariupada
sentimen melulu.
Sebenarnya buku 144 halaman itu bukan semata-mata
membawa luapan amarah untuk memburukkan PAS dan beberapa pemimpinnya di
Kelantan. Sebenarnya ada dua mesej di dalamnya. Pertama, campur tangan
dalam pentadbiran Kelantan, yang memerlukan pindaan perlembagaan. Kedua,
tindak-tanduk dua tiga kerat pemimpin Kelantan yang tidak menunjukkan sikap
kerjasama dengan MB bagi menyelesai masalah yang berlarutan itu.
Tetapi bagi yang membaca "dalam gelap", maka
itu tidak jelas pada mata mereka. Mereka lebih mudah mengulas pemimpin
yang menceraikan isteri mudanya, ataupun soal hobi tengok blue filem.
Saya menulis buku itu bukan kerana wang tetapi
untuk menegur PAS. Jika mahukan wang, saya boleh terbitkan buku itu sewaktu
pilihan raya umum dan menjualnya kepada Umno Kelantan. Tetapi ia diterbitkan
selepas kerajaan Kelantan dibentuk?
Kalau saya mahu wang dan populariti di kalangan
ahli PAS Kelantan, saya boleh menulis
tentang campur tangan istana dalam pentadbiran
kerajaan negeri. Saya dedahkan penyalahgunaan kuasa pihak tertentu sehingga
MB berada terjepit. Tentu buku itu mendapat sambutan dan saya akan dipuji
sampai ke langit ke lapan (kalau ada).
Saya mengutamakan tanggungjawab sebagai penulis.
Saya mengambil tugas ahli PAS yang takut atau segan mengkritik pemimpin.
Ilham itu tercetus apabila setiap kali saya menjejak kaki ke Kota Bharu
saya didesak untuk menulis tentang problem pentadbiran kerajaan negeri.
Walaupun saya dicemuh oleh mereka yang bersedia
menarik gebar untuk melindungi tahi
dalam selimut, tetapi saya puas dengan Tiga
Abdul. Pandangan, kritikan dan ulasan di dalamnya mendapat perhatian PAS
Kelantan. Mungkin Tok Guru yang turut sama disembur dalam buku itu sudah
menilainya. Saya teringin mendengar ulasan terbuka Tok Guru kalau "kitab"
terbaru saya itu pentingpadanya. Sehingga kini, pandangan PAS Kelantan
cukup mengembirakan saya. Saya telah berjaya!
|