MEMBANGUN MENURUT ISLAM "BERSAMA MENGISI KEMENANGAN" tinta_hijau@hotmail.com |
Bersediakah Umno Dibedah Siasat Secara Kritikal dan Mendalam?
Muqaddimah: Kekalahan Umno di Terengganu mengejutkan. Kelantan pula
terus terlepas ke tangan PAS sekalipun Ku Li mengetuai pasukan menawannya
semula. Ahli dan penyokong Umno berpaling tadah. Apakah signal dari musibah
ini? Di pihak Mahathir, bersediakah untuk mengkoreksi dari dalam diri Umno
akan kepincangan yang meloyakan ini. Alternatifnya, satu post mortem terperinci
perlu dilakukan segera untuk merawati “penyakit” sebenar Umno hari ini.
Soalnya, sangggupkan Umno dibedah siasat secara kritikal dan mendalam?
Renungi tangggapan JOSELINE TAN, yang pernah dipampangkan kepada umum melalui
New Starits Times, 5 Disember 1999 kira-kira seminggu selepas keputusan
pilihanraya ke-10 diumumkan.
Isnin bersamaan 29 November 1999. Waktu Maghrib baru sahaja selesai.
Kuala Terengganu mula diselubungi kegelapan. Kira-kira 20 orang wakil rakyat
BN berkumpul di banglo Menteri Besar, Wan Mokhtar Ahmad bagi menunggu keputusan
pilihanraya yang baru sahaja selesai pada hari itu.
Televisyen besar di ruang tamu kediaman Menteri Besar itu dibuka dengan
siaran RTM 1 dan kelihatan Wan Mokhtar tenang menunggu keputusan pilihanraya
di televisyen dan juga dari wakil BN di pusat-pusat pengiraan.
Wan Mokhtar pada petang itu memakai baju kemeja T berkolar. Dia tidak
menyangka bahawa itulah petang terakhir menjadi Menteri Besar Terengganu
setelah berkuasa selama 25 tahun.
Kelihatan mereka yang berkumpul di rumah itu agak ceria, berikutan
kempen yang berjalan sebelumnya memihak kepada BN, dan kedatangan pengundi
ke pondok panas BN memang mengatasi pondok panas PAS. Beberapa wakil rakyat
berkata, mereka menjangkakan beberapa wakil rakyat PAS akan mengalami pengurangan
majoriti.
Kira-kira pukul 7.45 malam, telefon bimbit bekas Adun Kijal, Ahmad
Said berbunyi dan menerima pangggilan daripada wakilnya di pusat pengiraan
undi. Dia diberitahu bahawa pengiraan masih belum selesai dan dia masih
mendahului lawannya dengan undi yang kecil. Ahmad Said kelihatan lapang
dada dengan laporan itu.
Beberapa minit kemudian, telefon bimbit Ahmad Said berbunyi lagi dan
dia diberitahu, pengiraan undi sudah memihak kepada pembangkang. Keadaan
di rumah itu mula tegang apabila Ahmad Said menutup telefon bimbitnya,
dan bersuara “saya sudah tewas”.
Keputusan rasmi kekalahan Ahmad Said itu disiarkan melalui televisyen
selepas jam 8:00 malam. Ahmad Said dalam keadaan mata yang merah, berada
di luar rumah Wan Mokhtar menenangkan penyokongnya yang datang untuk mendapatkan
pengesahan. Manakala Wan Mokhtar sibuk membuat dan menyambut panggilan
telefon di antara ruang tamu dengan bilik bacaan. Keadaan dalam rumah itu
kelihatan agak kelam-kabut.
Akhirnya, kira-kira jam 9:30 malam, setelah mengetahui dia kalah di
Cukai, Menteri Besar yang berusia 67 tahun itu berkata, “kita kalah banyak,
macam kena sihir.” Jelas kelihatan raut kekecewaan di wajah mereka yang
berada di rumah itu, kerana BN Terengganu sudahpun kehilangan sebuah negeri.
Tidak lama selepas itu, terdengar pula berita Ketua Penerangan Umno,
Dr. Yusof Noor tewas di Besut. Mereka yang berada di rumah itu mula kelu.
Kekalahan BN di Kelantan dan Terengganu mengejutkan banyak pihak dalam
BN. Bukan sahaja bilangan wakil rakyat Umno ramai yang tewas tetapi majoriti
undi juga di luar jangkaan terutama di Kelantan.
“Umno perlu merenung diri dengan keputusan pilihanraya kali ini,” kata
Naib Presidennya, Najib Tun Razak sebaik sahaja keputusan pilihanraya umum
ke-10 selesai diumumkan. Beliau yang bertanding mempertahankan kerusi Parlimen
Pekan, menang tipis dengan kelebihan 241 undi kepada calon PAS, Ramli Mohamed.
PAS merampas 28 daripada 32 kerusi di Terengganu dan 41 daripada 43
kerusi di Kelantan. Selain itu, ia juga bertapak di beberapa buah negari
dan berjaya mengurangkan majoriti BN di setiap kawasan.
Berdasarkan kepada pencapaian pilihanraya biasa, kejayaan BN memenangi
148 kerusi dan berhadapan dengan 45 kerusi pembangkang di Parlimen boleh
ditafsirkan sebagai kemenangan selesa. Pada pilihanraya 1995, BN melalui
pilihanraya dengan keadaan yakin, kerana undi Melayu masih belum teruk
berpecah berbanding pilihanraya tahun 1999.
Jika hendak dibuat perbandingan, pilihanraya tahun ini hampir mempunyai
kesamaan dengan pilihanraya tahun 1990, yang menyaksikan perpecahan politik
Melayu dengan penubuhan parti Semangat 46. Dalam pilihanraya tahun 1990,
pembangkang menguasai 53 kerusi Parlimen berbanding BN, 127 kerusi.
Namun pengundi Melayu sebelum ini, yang rata-rata menyokong Umno benar-benar
berubah angin. Dengan menjadikan sokongan padu pengundi Melayu dalam pilihanraya
sebelumnya sebagai petunjuk, menjadikan Umno bersikap yakin dengan pilihanraya
yang baru lalu. Namun keyakinan itu ternyata meleset.
“Banyak perkara dalaman yang perlu dianalisis selepas ini, tetapi ia
perlu dilakukan dengan rasional dan menjauhi unsur-unsur kekecewaan atau
emosional,” kata Najib.
“Yang penting kita mesti bermula dengan menghormati keputusan rakyat
sebagai menyuburkan amalan demokrasi di negara ini,” tambahnya.
Prestasi Umno dalam pilihanraya umum lalu menjadi bahan perbincangan
di merata tempat, dari warung kopi sehinggalah ke lobi-lobi hotel. “Saya
tidak boleh berhenti memikirkan mengenainya biarpun sewaktu saya tidur,”
kata seorang Ketua Umno Bahagian.
Setiap anggota Umno mempunyai pandangan dan analisis tersendiri terhadap
prestasi parti itu dalam pilihanraya yang baru lalu, dan seperti biasa
keadaan menyalahkan orang lain, apabila sesuatu kegagalan berlaku, turut
kedengaran kali ini.
Menurut Hassan Harun, tokoh korporat dan Ahli Majlis Tertinggi Umno
dari Kelantan, Umno gagal mengesan perubahan pemikiran yang berlaku ke
atas orang Melayu, terutama di kalangan genarasi muda Melayu yang berumur
di bawah 40 tahun.
“Kita masih mengandaikan pemikiran Melayu sama seperti dulu,” katanya,
biarpun pendidikan yang diterima telah meluaskan ruang lingkup pemikiran
mereka, dan tidak lagi berfikiran seperti genarasi ibu bapa dan datuk nenek
mereka sebelumnya.
Akibatnya kempen-kempen Umno masih terbawa-bawa dengan corak kempen
sebelumnya yang mengandaikan pengundi Melayu tidak akan berani beralih
angin. “Iklan dan kempen keterlaluan dalam televisyen dan surat khabar
dikatakan sukar diterima oleh genarasi baru,” tambah Hassan.
Maksud beliau, iklan memburuk-burukkan Presiden Keadilan, Dr. Wan Azizah
Ismail di televisyen sukar diterima oleh masyarakat Melayu di negara ini.
Lebih daripada itu, media arus perdana dikatakan tidak mendapat maklumat
atau memahami isu sebenarnya pergolakan yang berlaku, dan kerana itu mereka
gagal menjelaskan mesej BN.
“Ramai penonton menutup tv atau mengalihkan ke rancangan lain pada
setiap kali kempen pilihanraya disiarkan,” kata Hassan lagi.
Sebelum ini, selepas menerima kekalahan ditangan pembangkang, ramai
ahli politik Umno berkata bahawa kekalahan mereka bukan kerana PAS sebuah
parti yang kuat, tetapi kerana Umno sudah menjadi lemah. Namun selepas
pilihanraya baru-baru ini, PAS membuktikan bahawa mereka menjadi semakin
kuat. Ahli Majlis Tertinggi Umno, Syed Hamid Albar berkata, PAS kini setanding
dengan Umno dan BN.
“Mereka sebenarnya meniru teknik kita (Umno)… pergi dari rumah ke rumah
dan mendekati pengundi wanita,” kata Syed Hamid. Menurut beliau, PAS juga
mempunyai pekerja yang komited dan kedudukan kewangan yang baik.
Lebih daripada itu, kesatuan pemikiran ahli mereka berkaitan isu Islam
dan keupayaan menguasai masjid serta surau menjadikan PAS lebih mudah
memenangi hati orang Melayu. Kelemahan PAS setakat ini, mereka masih belum
berjaya mendekati pengundi Cina secara keseluruhan.
Di pihak Umno, nampaknya mereka mula sedar bahawa mereka gagal menguasai
dan menjuarai isu sebelum pilihanraya dulu. Tidak seperti pembangkang yang
berjaya mengutarakan secara jelas kepada rakyat persoalan tuntutan keadilan,
ketelusan pentadbiran, pemulihan demokrasi dan isu pemecatan serta perbicaraan
mantan Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Isu-isu berkenaan berjaya merubah pemikiran sebahagian besar orang
Melayu seperti kakitangan kerajaan (terutama guru), golongan pertengahan
Melayu, golongan profesional, pemuda, pelajar dan penduduk kampung.
Menurut Hassan Harun, bandar Kota Bharu penuh sesak untuk dua malam
berturut-turut sebelum hari pengundian, dengan anak-anak muda bermotorsikal
mengibarkan bendera PAS. Mereka berarak sepanjang malam.
Memang banyak faktor yang menyumbang kepada kemerosotan prestasi Umno
dalam pilihanraya kali ini, tetapi yang lebih penting, Umno perlu
menyelesaikan beberapa masalah dalamannya terlebih dahulu.
“Saya rasa kita perlu merenung diri selepas ini dan bertanya apa yang
sebenarnya berlaku dalam Umno. Kita tidak boleh semata-mata menyalahkan
faktor-faktor luaran,” kata Syed Hamid.
Sebagaimana pendapat Najib, bahawa Umno perlu mempersoalkan dirinya
dengan satu soalan yang agak keras, bahawa apakah parti itu terlalu sibuk
menyelesaikan masalah politik dalaman sehingga mengabaikan usaha-usaha
mendekati rakyat secara yang lebih meyakinkan?
Apakah pemimpin terlalu sibuk melayan ahli parti daripada melayan pengundi?
Dan apakah pemilihan calon yang bertanding memerlukan penilaian semula?
Apakah perlu ditubuhkan satu badan khas memantau prestasi wakil rakyat?
Apakah terdapat kelemahan dalam sistem melaporkan maklumat daripada
petugas bawahan parti ke pihak pimpinan? Bagaimana untuk menarik golongan
muda, cerdik pandai dan penyokong tradisi yang telah lari supaya kembali
kepada Umno?
Umno masih mempunyai kelebihan untuk memperbaiki keadaan kerana perbincangan
dalaman parti setakat ini masih berlangsung secara terbuka.
Mungkin selepas berehat daripada menghadapi pilihanraya, Umno dan parti-parti
komponen BN yang lain, akan melakukan bedah siasat dengan segera terhadap
prestasi parti mereka.
Setiausaha Agung Umno, Khalil Yaakob mengesahkan bahawa dia sedang
menyiapkan sebuah kertas kerja untuk dibincangkan pada mesyuarat Majlis
Tertinggi akan datang.
“Bersabarlah dulu,” kata bekas Menteri Besar Pahang itu yang agak gelisah
kerana negerinya kehilangan lapan kerusi kepada pembangkang dalam pilihanraya
lalu. Enam daripadanya ditawan oleh PAS. Pada pilihanraya 1995, pembangkang
hanya menang satu kerusi di Pahang iaitu DAP di Triang. Kini PAS telahpun
menyatakan hasrat mereka untuk menawan Pahang pada pilihanraya akan datang,
selepas menawan Kelantan dan Terengganu.
Perhimpunan Agung Umno Tahun 2000 (Mei ini), diharap akan menjadi sebuah
forum yang menyeluruh, selepas Umno Negeri dan Bahagian membincangkan masalah
dan melakukan bedah siasat masing-masing.
“Wakil-wakil yang berucap mesti dibenar menyatakan pandangan mereka
secara terbuka dan kritikal,” kata Syed Hamid.
Bagaimanapun menurut tokoh korporat Hassan Harun, Umno mesti menjalankan
penyelidikan untuk mengetahui bentuk perubahan pemikiran orang Melayu dan
bagaimana Umno boleh menarik minat golongan muda menyertai parti itu.
“Umno telah menjalankan kajian seumpama itu sebelum ini… iaitu pada
tahun 1969 dan kemudian 1990, dan akhirnya parti itu kekal relevan di jiwa
orang Melayu,” katanya.
Namun, tugas melakukan bedah-siasat bukanlah mudah dan mungkin sensitif
kepada sesetengah pihak dan individu dalam parti. Adakah Umno bersedia
dengan analisis yang sebegitu kritikal dan mendalam?
Dan yang lebih penting apakah parti itu sanggup menelan “pahit” sebagai
ubat kepada prestasi mereka di masa akan datang? Namun seperti kata salah
seorang pemimpin Pemuda Umno, Abdul Aziz Sheikh Fadzir, “Umno tiada pilihan
lain, melainkan terpaksa melakukannya juga.”
IKLAN TERBARU: Dapatkan sekarang dipasaran ISU: Mengapa Takut Haji Hadi?
Pada harga RM3.50 senaskah. Eksklusif dari Editor Tarmizi Mohd Jam. Hubungi
emeil
HYPERLINK "mailto:isu_malaysia@hotmail.com"
isu_malaysia@hotmail.com
bagi mendapatkan keterangan lanjut dan buat pesanan. Pengedar
dikehendaki segera! Sila lihat promosi pada hampir semua laman web 1, 2
& 3 Ogos 2000 atau kunjungi Laman Jebat 2020.