Ada pihak halang negeri
KUALA TERENGGANU, 20 April (Hrkh)- Hasrat
Kerajaan PAS Terengganu untuk membantu
peniaga dan usahawan di negeri ini terjejas
berikutan ada pihak tertentu yang cuba
menghalang usaha tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan,
Peniaga Kecil & Hal Ehwal Pengguna negeri, Haji
Mohd Abdul Wahid Endut, berkata pihaknya
menyedari perkara itu apabila ada agensi tertentu
yang enggan memberi kerjasama dengan kerajaan
negeri bagi menyediakan pelbagai program.
Menurutnya, ada menteri Pusat dan ketua jabatan
Kerajaan Persekutuan yang enggan bertemu
dengan beliau bagi membincangkan pelbagai
masalah berhubung kebajikan peniaga dan
usahawan di negeri ini.
"Bagaimanapun, saya puji kerana ada menteri
Pusat yang memberikan layanan mesra dan sedia
menghulur bantuan untuk membantu peniaga
Bumiputera di negeri ini," katanya ketika berucap
di majlis dialog dengan peniaga Taman Selera
Tanjong, di sini semalam.
Beliau berkata, sepatutnya menteri dan ketua
jabatan Persekutuan memberi kerjasama kepada
kerajaan negeri untuk merangka pembagai program
bagi kepentingan peniaga dan usahawan
tempatan.
"Pilihan raya sudah berlalu...Kini semua pihak
sepatutnya bersama-sama bekerja bagi membantu
rakyat dan memberi peluang mereka menjalankan
kegiatan ekonomi untuk meningkatkan taraf hidup
mereka," katanya.