Beliau berkata dasar kerajaan negeri adalah jelas
iaitu tidak
menghalang sebarang projek keperluan asas yang
memberi
kemudahan kepada rakyat.
"Pada dasarnya, kita tidak menghalang pembinaan
projek
berkenaan dan kajian oleh Unit Perancang Ekonomi
menunjukkan ia
adalah satu keperluan untuk pengguna di negeri
ini," katanya
ketika ditemui selepas persidangan Dewan Undangan
Negeri di sini
hari ini.
Yahaya berkata kajian itu juga mendapati pengguna
bersetuju
untuk menggunakan lebuh raya berkenaan walaupun
kutipan tol
dikenakan ke atas mereka.
Akhbar semalam melaporkan Perdana Menteri Datuk
Seri Dr
Mahathir Mohamad sebagai berkata bahawa projek
lebuh raya itu
terutama yang membabitkan dari Cendering, Terengganu
ke Karak
di Pahang akan dilaksanakan jika kerajaan Pas Terengganu
bersetuju membenarkan tol dikutip di laluan berkenaan.
Dr Mahathir berkata jika kerajaan Terengganu tidak
mahu kutipan
tol dilaksanakan ia boleh membiayai keseluruhan
projek yang
membabitkan bahagian yang melibatkan negeri itu
atau membiayai
pembayaran tol untuk rakyatnya yang menggunakan
lebuh raya
itu.
"Kalau dia (kerajaan Terengganu) tidak mahu tol,
maka projek itu
terpaksa dimansuhkan (bahagian Terengganu ke Pahang),"
kata
Perdana Menteri.
Lebuh raya sepanjang 338 km itu yang berharga RM2.8
bilion
dirancang dibina mengikut beberapa fasa dari Karak
ke Kuantan di
Pahang dan Jabur, Bukit Besi, Ajil dan Cendering
di sini. Kerja
pecah tanah di kedua-dua buah negeri itu dilakukan
pada bulan
lepas.
Yahaya berkata tidak timbul soal bantahan kerajaan
pimpinan Pas
terhadap isu tol berkenaan kerana kerja pecah tanah
projek itu
dilakukan bulan lepas.
"Kita terima (kutipan tol) kerana ia melibatkan
projek kerajaan
persekutuan dan penghapusan tol di Jambatan Sultan
Mahmud di
sini baru-baru ini tidak ada kena mengena dengan
lebuh raya
berkenaan," katanya.
Menurutnya isu yang dibangkitkan itu adalah berlainan
kerana
kutipan tol di jambatan itu adalah di bawah bidang
kuasa kerajaan
negeri manakala pembinaan lebuh raya pula di bawah
kerajaan
pusat.
"Malah projek itu dijalankan secara penswastaan
dan ada pelabur
yang melabur untuk projek (lebuh raya) berkenaan,"
katanya.
Yahaya berkata semua projek yang diluluskan oleh
kerajaan negeri
pimpinan Barisan Nasional (BN) dahulu akan diteruskan
cuma ia
akan dikemaskini bersesuaian dengan dasar kerajaan
Pas.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan
Ekonomi,
Petroleum dan Perindustrian negeri Mustafa Ali
berkata sehingga
kini tiada tanda-tanda projek berkenaan akan dihentikan
memandangkan kerja awal pembinaannya telah dimulakan.
Mustafa berkata satu lagi projek yang melibatkan
kerajaan pusat
iaitu pembesaran Lapangan Terbang Sultan Mahmud
di Seberang
Takir juga akan diteruskan.
"Tak kan nak tarik balik sebab upacara pecah tanah
(lapangan
terbang) telah dibuat dan berdasarkan setakat ini
tak ada
tanda-tanda tak akan diteruskan," katanya.
Upacara pecah tanah lapangan terbang berkenaan disempurnakan
oleh Perdana Menteri pada 27 Nov lepas. Pembesaran
lapangan
terbang itu yang bernilai kira-kira RM200 juta
itu melibatkan
pembinaan terminal baru dan pemanjangan landasan
yang sedia
ada dan dijangka siap dalam tempoh lima tahun.