Terengganu menjadi mangsa kelurusannya
Oleh Dr. Shafie Abu Bakar

PENDUDUK Terengganu memang terkenal dengan sifat baik hati dan menghormati orang. Ini
barangkali dipengaruhi oleh alam sekitar yang menarik dan melembutkan jiwa, ditambah
dengan budaya turun-temurun yang menjunjung budi bahasa. Walaupun pengaruh moden makin
melanda, tetapi tipikal citra Melayu Terengganu ini masih kekal dan dalam hal-hal
tertentu mereka rela berkorban, walaupun kepentingan diri dan tempatan turut terkorban.

Sifat ini memangnya baik, tetapi di dalam setengah perkara merugikan. Sifat baik hati
ini nampaknya mem-pengaruhi politik Terengganu yang dari satu segi dilihat sebagai
kelemahan dari segi seni berpolitik bagi negeri tersebut. Ini digunakan oleh pihak yang
berkepentingan dan merugikan rakyat negeri tersebut.
Citra jiwa Melayu Terengganu yang paling ketara dapat dilihat pada watak dan peribadi
Menteri Besar Terengganu sendiri iaitu Tan Sri Dato' Seri Wan Mokhtar bin Ahmad sebagai
mewakili kelompok politik pemerintah Negeri Terengganu. Beliau satu-satunya negeri yang
diperintah oleh 'Ulama UMNO'. Beliau berkeperibadian lembut dan dihormati kawan dan
lawan di dalam politik.
Namun keistimewaan ini yang juga mencerminkan 'watak dan peribadi politik' Negeri
Terengganu dari satu segi dilihat sebagai satu kelemahan yang dapat digunakan oleh
pihak pusat.
Di dalam percaturan politik Negeri Terengganu, walupun negeri tersebut kini diperintah
oleh BN dengan majoriti selesa, tetapi tidak menyerlah dari segi politik pada peringkat
nasional. Pada masa ini dapat dilihat oleh kerana sifat 'tidak apanya', kalau dulu
Negeri Terengganu mempunyai menteri pada peringkat pusat yang paling akhir diwakili
oleh Dato' Dr. Yusof Nor berkedudukan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan kini, tetapi
oleh kerana kesilapan percaturan politiknya bertanding pada peringkat dewan undangan
negeri pada penggal pilihan raya baru lalu sebagai persediaan untuk menjadi Menteri
Besar Terengganu, nampaknya tidak berlaku. Kesilapan percaturan ini bukan saja
merugikan beliau, tetapi merugikan Negeri Terengganu, kerana jawatan menteri penuh yang
dulunya diperuntukkan kepada Terengganu tidak dipenuhi.
Sebagaimana sifat orang Terengganu yang berbudaya mengia dan menerima tanpa protes,
maka ketiadaan jawatan menteri penuh di dalam kerajaan pusat diterima secara rela,
tanpa protes. Terengganu hanya diberi peruntukan pada tahap Timbalan Menteri. Ketiadaan
wakil Terengganu pada peringkat menteri kanan di dalam kabinet merugikan Terengganu,
kerana tiada suara di dalam mesyuarat kabinet mingguan yang membuat keputusan dan
tindakan.
Berbanding dengan Negeri Kelantan, sungguhpun negeri ini diwakili oleh kerajaan
pembangkang, kerajaan pusat tidak memandang sepi terhadap negeri tersebut. Ini oleh
kerana rakyat Kelantan pandai berpolitik dan tidak mengiakan kepada kehendak pusat,
pihak kerajaan pusat yang diketuai oleh Dr. Mahathir Mohamad ingin mengatur strategi
bagi menarik sokongan rakyat Kelantan kepada BN kerajaan pusat memberi peruntukan
kerusi menteri di dalam kerajaan pusat jauh lebih banyak dari Negeri Terengganu yang
setia berterusan itu. Kerajaan Kelantan diberi tiga jawatan menteri penuh iaitu Menteri
Pembangunan Usa-hawan dan Menteri Kewangan Kedua, Menteri Pembangunan Luar Bandar.
Kelantan juga mempunyai jawatan Timbalan Menteri.
Sifat patuh Terengganu sebenarnya adalah mencerminkan kelemahan peribadi negeri itu
yang tidak mampu berhujah, melobi dan memberi keyakinan apa lagi menggugat pihak pusat.
Terengganu yang memberi sumbangan hasil terbesar kepada kerajaan pusat menerusi hasil
gas dan petroleum lebih 50% hasil petroleum negara sepatutnya banyak mendapat
keistimewaan dari kerajaan, tetapi keadaan tidak berlaku sedemikian. Sebagai contohnya
pembinaan Universiti Petronas paling logiknya didirikan di Terengganu, kerana di
situlah sumber petroleum yang dapat dijadikan tempat research dan pembangunan petroleum
itu sendiri, tetapi apakah yang terjadi? Meskipun Kerajaan Terengganu meminta dan
menawarkan tapak untuk didirikan di Terengganu, tetapi pihak kerajaan pusat dan
Petronas tidak menghiraukan permintaan Terengganu. Ini kerana diketahui Terengganu
tidak mempunyai kuku dan taring bagi mendapat projek tersebut. Akhirnya universiti
tersebut terdiri di Perak. Sebelumnya kelemahan Terengganu terserlah apabila rancangan
untuk mendirikan penapis minyak terbesar dirancang, projek ini juga dari segi ekonomi
dan strategi pembangunan Terengganu sepatutnya didirikan di Terengganu, tetapi oleh
kerana sifat Terengganu yang lemah, adanya lobi dari negeri lain yang lebih kuat dan
kebetulan orang kuat Petronas pada masa itu dari negeri berkenaan akhirnya Terengganu
kecun-dang dan kilang penapis minyak itu akhirnya didirikan di Melaka! Sebenarnya nama
Petronas yang gah itu, walaupun dekat di mata rakyat Terengganu, tetapi jauh di hati.
Di dalam pentadbiran Petronas pada peringkat atasan tidak ketara wujudnya rakyat
Terengganu yang berperanan menentukan polisi, bahkan pekerja-pekerja di dalam sektor
petroleum umumnya bukan dinikmati rakyat Tereng-ganu.
Yang ketara diterima Negeri Terengganu ialah royalti 5% dari keluaran petroleum di
negeri tersebut. Jumlah pendapatan lebih kurang 6 juta sebulan yang jika dibahagi sama
rata kepada setiap rakyat Negeri Terengganu masing-masing akan dapat RM 750.00 sebulan
itu, tidak ketara sampai kepada rakyat Negeri Terengganu. Terengganu nampaknya tetap
berada pada paras kemiskinan yang tinggi, iaitu berkedudukan sebagai negeri kedua
termiskin di Malaysia dengan kadar 17.3 peratus.
Ungkapan menyayat hati rakyat Terengganu bahawa, "Terengganu negeri kaya, tetapi rakyat
miskin" nampaknya adalah benar. Orang bertanya ke manakah perginya hasil petroleum yang
didapati itu? Lesap di dalam pelaburan Perwaja yang rugi yang kerajaan Terengganu
mempunyai 20% saham di dalamnya? Di simpan? Atau tidak cekap di dalam pengurusan atau
berlaku pembaziran?
Dengan fenomena yang dipaparkan di atas, sindrom patuh dan mengiakan telah memberi
implikasi buruk kepada negeri dan rakyat negeri Terengganu. Kelemahan diri rakyat dan
negeri Terengganu ini telah digunakan oleh kerajaan pusat bagi keselesaan dari segi
mengeksploitasi ekonomi dan keselesaan dari segi politik, biarpun akibat darinya
Terengganu lemah dari segi politik dan tidak dapat melepaskan diri dari belenggu
kemiskinan.
Walaupun kaya dari segi pendapatan. Kita berpendapat untuk mengubah sindrom ini rakyat
Terengganu perlu kepada perubahan. Terengganu perlu bersifat menggugat dan menyanggah
kerajaan pusat sebagaimana yang dilakukan oleh rakyat Negeri Kelantan. Rakyat
Terengganu perlu mengajar kerajaan pusat dengan menarik kepercayaan terhadap mereka dan
memberi kepercayaan kepada PAS memerintah. Bila mereka tergugat mereka baru membuka
mata dan memberi perhatian terhadap Negeri Terengganu dan hak-hak yang sepatutnya
didapati oleh Negeri Tereng-ganu baru akan ditawarkan. Kerajaan pusat sebenarnya takut
Terengganu terlepas kepada PAS. Ketakutan ini hendaklah diguna oleh rakyat mengajar
kerajaan pusat.
Rakyat Negeri Terengganu jangan takut membuat perubahan, kalau tidak mereka terus dalam
keadaan sekarang dan ketinggalan. Dengan perubahan yang dibuat rakyat, mereka tidak
akan menghadapi masalah. Dengan royalti minyak dan hasil-hasil lain di Terengganu
insya-Allah Terengganu akan lebih maju jika dikendalikan oleh tenaga-tenaga baru yang
lebih dina-mik.
Pihak PAS akan menampilkan calon-calon ulama dan para profesional yang akan membawa
perubahan kepada Terengganu secara dinamik menurut landasan Islam insya-Allah.