Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum dan
Perindustrian negeri Mustafa Ali berkata kerajaan sentiasa
berusaha menarik para pelabur ke negeri ini dengan menyediakan
pelbagai kemudahan kepada mereka untuk melaksanakan
perniagaan.
Katanya kerajaan negeri akan juga menjalankan kajian terperinci
terhadap anak-anak syarikatnya dalam usaha mengemaskinikan
pentadbiran dan perjalanan anak syarikat berkenaan.
Anak syarikat yang didapati tidak membawa keuntungan tetapi
dianggap berpotensi akan diteruskan operasinya dengan dilakukan
beberapa pendekatan tertentu, katanya pada forum perindustrian
Terengganu di alaf baru di sini.
Namun begitu, katanya, kerajaan negeri tidak menolak
kemungkinan menutup mana-mana anak syarikat yang dianggap
tidak strategik serta sering mengalami kerugian.
Ketika menjawab soalan peserta forum mengenai kemungkinan
kerajaan negeri mengenakan larangan kepada golongan wanita
yang bekerja malam terutamanya dalam sektor perkilangan,
Mustafa berkata ia terpulang kepada syarikat terbabit.
"Bagaimanapun lebih baik mereka tidak bekerja malam kerana
majikan perlu memahami tanggungjawab pekerja wanita terhadap
keluarga yang lebih utama," katanya.