Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah Terengganu dan negeri-negeri
pantai Timur masih memerlukan rangsangan pelaburan awam bagi
mengembangkan ekonominya kerana pelaburan swasta tidak
mencukupi untuk bertindak sebagai pemangkin utama
pengembangan ekonomi negeri itu.
"Beta yakin kerajaan negeri akan memberi penumpuan khusus
kepada sektor-sektor yang dapat menjana perkembangan ekonomi
secara langsung kepada rakyat," titah baginda pada perasmian
pembukaan penggal persidangan yang kedua Dewan Undangan
Negeri ke-10, di sini.
Turut hadir pada majlis itu Permaisuri Nur Zahirah.
Baginda bertitah dengan adanya penumpuan khusus itu,
pengurusan ekonomi pembangunan negeri akan lebih menekankan
kepada keperluan dan kepentingan rakyat setempat.
Kadar pertumbuhan ekonomi Terengganu pada tahun lepas
sebanyak 3.9 peratus dan sektor perlombongan terutamanya
industri petroleum masih menyumbang lebih 50 peratus kepada
Keluaran Dalam Negara Kasar.
Sultan Mizan bertitah pelaburan langsung ke Terengganu pada
tahun lepas berjumlah RM1.3 bilion dan mewujudkan 1,400
pekerjaan yang kebanyakannya adalah dari industri petrokimia.
Baginda menyarankan kerajaan negeri supaya memanfaatkan
jumlah pelaburan langsung berkenaan dengan memberikan peluang
kepada guna tenaga kerja dan usahawan-usahawan tempatan
untuk merebut tawaran itu.
"Dalam hal ini, syarikat-syarikat yang beroperasi di Terengganu
perlulah memberi peluang kepada rakyat tempatan untuk
bersama-sama memajukan ekonomi negeri.
"Justeru itu, beta mahu kerajaan negeri menyelaraskan dengan
sektor swasta bagi memastikan pengagihan projek-projek
perniagaan, perkilangan dan perkhidmatan dapat dilaksanakan
dengan saksama," titah baginda.
Baginda juga meminta kerajaan negeri memperbanyakkan lagi
projek-projek prasarana yang perlu dilaksanakan sesuai dengan
pertambahan penduduk dan peningkatan keperluan daripada semua
sektor dalam negeri.
Baginda bertitah peruntukan pembangunan kerajaan negeri
sebanyak RM200 juta setahun bersesuaian dengan jumlah
penduduk Terengganu seramai satu juta.
Sultan Terengganu mengharapkan projek pembesaran Lapangan
Terbang Sultan Mahmud akan menjadi kenyataan dalam masa
terdekat ini seperti mana kata sepakat yang telah dicapai antara
kerajaan negeri dan kerajaan pusat mengenai pembinaan Lebuh
raya Pantai Timur.
Baginda bertitah selain itu, kerajaan negeri juga perlu memberi
penumpuan khusus kepada program-program pembasmian
kemiskinan dengan memperkenalkan kaedah baru untuk menangani
masalah itu memandangkan kadar kemiskinan di Terengganu masih
tinggi.
Sultan Mizan turut meminta kerajaan negeri terutama
penguasa-penguasa tempatan supaya menghapuskan karenah
birokrasi dalam urusan mereka denganrakyat serta memberi
perkhidmatan dengan lebih cekap dan efektif.
"Khidmat-khidmat yang diberikan oleh penguasa-penguasa
tempatan haruslah bersesuaian dengan kehendak atau aspirasi
rakyat di bandar...beta mengesyorkan tumpuan dibuat oleh
penguasa-penguasa tempatan dengan melihat prioriti-prioriti
tertentu dalam melaksanakan tanggungjawab ini," titah baginda.
Mengenai perumahan, baginda meminta kerajaan negeri memberi
penekanan khusus kepada rakyat berpendapatan rendah untuk
memiliki rumah kediaman.
"Beta dimaklumkan kerajaan negeri sedang menyediakan kaedah
untuk memudahkan golongan berpendapatan rendah membeli
rumah kediaman. Kaedah ini akan memberi peluang kepada 6,000
keluarga memiliki rumah kediaman," titah baginda.
Pada masa ini permintaan rumah kediaman adalah 8,500 unit
setahun dengan rumah kos rendah merangkumi 70 peratus
daripada jumlah itu.
Terdahulu, Sultan Mizan berkenan memeriksa kawalan kehormatan
oleh 106 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan Polis Diraja
Malaysia serta pancaragam dari platun Tambur Batalion 18 Rejimen
Askar Melayu Diraja.
Persidangan Dewan Undangan Negeri kali ini merupakan yang
kedua selepas Pas memenangi pilihan raya umum pada 29 Nov
lepas.
Persidangan Dewan lima hari yang bermula hari ini akan
bersambung esok