Celoteh pilihanraya dari UK

                     Oleh: Abu Naseem, United Kingdom

                     Satu persatu keputusan pilihanraya disiarkan. Tak cukup dengan lawan
                     web Harakah, Berita Harian menjadi pilihan. Kedua-duanya menyiarkan
                     keputusan pilihanraya secara langsung. Tak puas hati dengan siaran internet
                     kami menghubungi Malaysia melalui talifon dari masa ke semasa. Itulah
                     sahaja media yang ada diperantauan ini. Kami berkumpul dirumah salah
                     seorang sahabat yang dari awal lagi menawarkan rumahnya sebagai
                     "markaz pilihanraya". Dengan tekun kami mengadap komputer. Kedua
                     laman web tersebut bergilir-gilir kami lawati. Nampaknya Harakah lebih
                     cepat menyiarkan keputusan. Tak cukup dengan keputusan rasmi, ada juga
                     disiarkan keputusan yang tidak rasmi. Apabila calon dari BA khususnya
                     PAS diisytiharkan menang, kami bersorak kegembiraan diselang seli
                     dengan takbir. Riuh rendah bunyinya. Tak tahulah apa kata jiran sebelah
                     menyebelah. Paling menggembirakan apabila mendapat tahu bahawa PAS
                     bukan sahaja dapat terus mempertahankan Kelantan malah dengan
                     kemenangan yang besar. Nampaknya rakyat Kelantan tetap dibelakang
                     Tuan Guru yang mereka kasihi. Segala kecaman, tuduhan dan tohmahan
                     terhadap kepimpinannya selama ini rupanya membuatkan rakyat lebih
                     bersimpati. Namun itu bukan faktor sebenar kejayaan PAS
                     mempertahankan Kelantan. Yang jelas adalah kepimpinan Islam yang
                     dibawanya. Rakyat lebih senang berada dibawah kepimpinan yang jelas
                     bersih dari segala amalan rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa dan
                     segala bentuk kemungkaran. Walaupun sederhana namun rakyat merasa
                     lebih selesa.

                     Sebenarnya saya sendiri sebelum ini amat merasa bimbang kalau-kalau
                     Kelantan tidak dapat dipertahankan. Maklumlah, siapa tidak kenal dengan
                     Tengku Razaleigh. Walaupun sebenarnya beliau sudah tidak ada pengaruh
                     lagi tetapi semua orang tahu kelicikannya dalam berpolitik. Bukankah dia
                     yang pernah merampas Kelantan dari tangan PAS pada tahun 1978
                     dahulu. Dia jugalah yang menyumbang kepada kejatuhan Kerajaan
                     UMNO Kelantan pada tahun 1990. Dr. Mahathir sendiripun pun nyaris
                     tersungkur ditangannya pada pemilihan presiden UMNO 1987 dulu.
                     Strateginya sentiasa mengena. Tambahan pula banyak kelebihan yang ada
                     padanya. Selain daripada orang istana beliau juga diberikan apa sahaja
                     asalkan dapat merampas Kelantan dari tangan PAS. Dari sudut survival
                     politiknya pula, Kelantan adalah segalanya. Dia tahu bahawa Kelantan
                     adalah penyelamat masa depannya dan Kelantan juga boleh menjadi
                     penamat karier politiknya. Oleh itu dengan apa cara sekalipun Kelantan
                     mesti dirampas. Atas alasan inilah saya amat merasa resah. Habislah kali
                     ini. Lagipun ada banyak kerusi DUN yang sebelum ini PAS menang tipis.
                     Kalau betul strateginya dan "berbelanja" lebih sikit untuk kawasan ini
                     harapan BN rampas Kelantan sudah tentu semakin cerah. Namun rakyat
                     yang membuat pilihan. Rakyat yang menilai. Rakyat Kelantan yang telah
                     diasuh dengan jiwa agama ini sudah pasti tidak rela negeri mereka jatuh ke
                     tangan golongan sekular yang rakus kuasa. Saya benar-benar gembira dan
                     lapang dada apabila mendapat tahu bahawa PAS bukan sahaja dapat terus
                     berkuasa di Kelantan malah sokongan yang diberikan di luar jangkaan.
                     Banyak kerusi BN yang jatuh ketangan BA khususnya PAS. Yang dulunya
                     menang tipis kini menang besar. Majoriti berlipat kali ganda. Sikap rakyat
                     Kelantan ini amat mengharukan. Bayangkan dari empat puluh tiga kerusi
                     DUN, BN hanya mampu bertahan di dua kerusi sahaja. Itupun di ulu
                     Kelantan dan rasanya undi dari beberapa kerat orang asli yang masih lagi
                     sayangkan Tengku Razaleigh. Khabarnya beliau sendiri hampir-hampir
                     tumbang di Gua Musang kepada bekas orang kuatnya, Abe Jak. Kalaulah
                     tidak dengan undi orang asli ini, sudah tentu semua kerusi Parlimen
                     Kelantan menjadi milik BA.. Saya "bimbang" dengan kekalahan UMNO
                     Kelantan ini, Ku Li tidak lagi mendapat tempat dalam UMNO atau
                     kerajaan, apatah lagi rakyat Kelantan.

                     Paling mengharukan apabila ada sahabat dari Malaysia menalifon
                     memberitahu bahawa kemungkinan besar Trengganu jatuh ke tangan BA.
                     Semacam tidak percaya. Walaupun Terengganu adalah salah satu kubu
                     kuat PAS namun Terengganu begitu liat berada dalam cengkaman BN
                     sebelum ini. Bukannya mudah nak menawan negeri yang kaya raya begitu.
                     Namun ia terbukti benar. Berita itu disahkan oleh Harakah dan Berita
                     Harian. Selain itu BA juga dapat menambahkan kerusi DUN di Kedah
                     menjadikan dua belas kerusi dan menawan lapan kerusi Parlimen. Itu
                     sudah pencapaian besar bagi PAS Kedah. Berkat kepimpinan sederhana
                     dan berkesan Dato' Fadzil Noor, PAS terus mara di negeri itu. Rasanya
                     tidak salah kalau PAS meletakkan sasaran untuk menawan Kedah pula
                     pada pilihanraya akan datang. Tidak disangka juga adalah kejutan yang
                     dibuat oleh PAS Pahang, Selangor dan Perak manakala di Pulau Pinang
                     ada wakil PAS dalam DUN. Ianya amat memberangsangkan. Setelah
                     semua keputusan diketahui ternyata PAS dan sekutunya dalam BA
                     mendapat paling kurang kemenangan moral yang besar. PAS sendiri
                     berjaya menghantar dua puluh tujuh orang wakil ke Parlimen dan
                     menguasai sembilan puluh lapan kerusi DUN. Satu pencapaian yang amat
                     gemilang. Satu petanda yang amat jelas. Keadilan pula mampu menghantar
                     lima orang wakilnya di Parlimen diketuai oleh Presidennya sendiri, YB
                     Datin Seri Dr. Wan Azizah. Apabila dicampur dengan DAP dan PBS, parti
                     pembangkang sudah cukup kuat di Parlimen dengan ahli seramai empat
                     puluh lima orang. Walaupun gagal menafikan dua pertiga penguasaan BN
                     namun bilangan yang ada itu sudah cukup menggerunkan mereka.
                     Sekurang-kurangnya mereka tidak mengambil ringan perbahasan di
                     Parlimen. Selama ini Parlimen berperanan sebagai rubber stamp,
                     meluluskan apa sahaja tindakan kerajaan. Para pemimpin BA yang ada di
                     Parlimen ini nanti akan berfungsi sebagai pengimbang kuasa BN itu.
                     Sepanjang hari itu kami hanya berbincang tentang pencapaian BA dalam
                     pilihanraya tersebut. Nampak sangat keriangan di wajah setiap orang.
                     Seorang sahabat kami terlalu bangga kerana DUN Sungai Burung, tempat
                     asalnya ditawan PAS. "Saya dah agak dah. Dato' Hassan Ali boleh
                     menang kat situ. Dulu kubu kuat UMNO tu. Orang dah tak suka UMNO
                     lagi dah" katanya dalam pelat Jawa dengan penuh bangga dan terharu.
                     Kami terus berpakat untuk mengadakan kenduri kesyukuran. Malam
                     esoknya rumah saya penuh sesak dengan tetamu undangan majlis makan
                     malam kenduri kesyukuran.

                     Namun dalam kegembiraan, jauh disudut hati terasa sedikit kekesalan.
                     Harapan untuk melihat Perlis jatuh ketangan BA tidak kesampaian. BA
                     hanya mampu menawan tiga kerusi DUN dan tidak dapat merampas
                     sebarang kerusi Parlimen. Amat mengecewakan apabila Parlimen Arau
                     yang sudah berada ditangan PAS jatuh ke tangan BN. Sebelum ini ramai
                     yang berani "bertaruh" mengatakan selepas Kelantan, Perlis akan jatuh ke
                     tangan PAS. Petandanya apabila Parlimen Arau dimenangi dengan mudah
                     oleh PAS dalam pilihanraya kecil tahun lepas. Semangat Arau itu
                     sepatutnya berterusan dan diperkuatkan lagi dengan arus reformasi.
                     Maknanya dengan perkiraan mudah Perlis akan bertukar kerajaan sehari
                     selepas pilihanraya. Ramai yang sudah berangan-angan melihat YB Us.
                     Hashim Jasin atau Prof. Datuk Dr. Harun Din menjadi MB Perlis. Namun
                     harapan tidak kesampaian. Tiba-tiba Trengganu yang menang besar.
                     Sebenarnya bagi saya secara peribadi, sebelum ini saya meletakkan
                     Trengganu yang ketiga selepas Kelantan dan Perlis yang akan jatuh
                     ketangan PAS. Bagi seorang sahabat saya pula dia meletakkan Trengganu
                     yang keempat. Kedah dahulu katanya. Dia kata dia faham sangat tentang
                     suasana di Trengganu sebab dia berasal dari negeri itu. Saya kurang pasti
                     apa pula maksudnya walaupun saya dapat meneka. Diri saya sendiripun
                     ada kena mengena dengan orang Terengganu. Tetapi keputusan pilihanraya
                     itu membuktikan segalanya. PAS Trengganu bersama dengan Keadilan
                     menang besar hatta MB yang sudah dua puluh lima tahun berkhidmatpun
                     terpaksa tunduk kepada calun PAS. Tumpas di medan sendiri.

                     Tanggapan saya dan sahabat saya dari Trengganu tadi terbukti meleset.
                     Sebelum ini sudah beberapa kali PAS Trengganu melancarkan tahun 3T
                     (Tahun Tawan Trengganu) tetapi belum berjaya. Tahun ini nampaknya
                     mengena. Itulah ganjaran Allah kepada para pejuang yang selama ini tidak
                     mengenal erti kekecewaan. Bekerja dengan jiwa, harta dan tenaga tanpa
                     mengira penat lelah asalkan tanggungjawab terhadap agama Allah
                     terlaksana. Benarlah seperti kata YAB Menteri Besar Terengganu Tuan
                     Guru Haji Abdul Hadi Awang semasa diminta mengulas kejayaan PAS
                     perintah Trengganu "bahawa kita telah bekerja, berkorban dan berjuang.
                     Kita juga telah memenuhi syarat untuk menang dan Allah mengurniakan
                     kemenangan. Segala penat lelah dan pengorbanan selama ini berhasil".
                     Beliau juga menggariskan empat faktor asas kemenangan PAS di
                     Terengganu. Pertamanya adalah pertolongan dari Allah. Kedua, kesedaran
                     menyeluruh rakyat. Ketiga perubahan sikap golongan professional dan
                     pegawai kerajaan, dan yang keempat kegiatan aktif parti dari masa
                     kesemasa. Adalah diharapkan kesemua faktor ini akan berterusan dan
                     merebak keluar Terengganu. Namun sebagaimana pernah disebutkan oleh
                     YAB Tuan Guru Nik Aziz dan diulangi pula oleh YAB Tuan Guru Haji
                     Abd. Hadi bahawa menjaga kemenangan itu lebih susah dari berjuang
                     mendapatkan kemenangan. Namun rasanya kerajaan baru Trengganu tidak
                     begitu sukar mengendalikan pentadbiran. Banyak laluan sukar telah diredah
                     oleh Kerajaan PAS Kelantan.

                     Pengalaman di Kelantan ini cukup untuk dijadikan panduan. Tinggal lagi
                     apa yang kurang boleh di tambah dan diperbaiki. Namun halangan pasti
                     mendatang. Akan banyak tentangan dan cabaran. Musuh datang dari
                     depan dan belakang. Setiap langkah perlu berhati-hati. Pihak musuh
                     sentiasa sahaja mengambil peluang mencari kesalahan. Pantang ada sedikit
                     kesilapan pasti diperbesarkan. Apalagilah kalau ianya boleh digunakan
                     untuk mencapai matlamat politik. Pasti akan dipergunakan. Nantinya akan
                     dijadikan peluru bagi menyerang kita. Sebarang langkah terburu-buru atau
                     tidak berhati-hati pasti mengundang kontroversi. Godaan dalaman pun
                     banyak juga. Maklumlah berhadapan dengan segala macam kemudahan
                     dan kemewahan. Kuasa pula ada dalam tangan. Namun berbekalkan iman
                     dan taqwa segala godaan mudah sahaja dilawan. Itulah faedahnya
                     mempunyai pemimpin yang beriman dan bertaqwa. Sifat sebegitu pastinya
                     tidak ada pada mereka yang berjiwa sekular. Sebab itulah harta negara
                     telah menjadi milik peribadi. Boleh dibahagi-bahagikan sesuka hati. Rakyat
                     pula menanggung segala beban dan kesusahan. Golongan miskin tetap
                     terpinggir dan yang memerlukan tidak terbela. Golongan muda dibiarkan
                     lalai supaya senang dikongkong pemikiran. Berbekalkan kuasa semua
                     benda boleh dilakukan tanpa mengira dosa dan pahala. Hawa nafsu
                     bermaharaja lela. Siapa yang menentang pasti menjadi mangsa. Pendek
                     kata beraja dimata bersultan di hati. Dalam hal ini Kerajaan baru yang
                     mewakili BA di Terengganu kena benar-benar memastikan perubahan
                     tetap berlaku. Harapan rakyat jangan dipersiakan. Segala janji perlu
                     ditepati. Pentadbiran mesti telus. Kearajaan pula mestilah bersih. Sentiasa
                     membela kebajikan rakyat tanpa mengira pangkat kedudukan, bangsa atau
                     agama. Inilah peluang yang baik untuk membuktikan bahawa Kerajaan
                     Islam adalah yang terbaik dalam menjamin kebajikan dan keadilan.
                     Berbalik kepada cerita Perlis. Nampaknya Allah belum lagi
                     menganugerahkan kemenangan. Pasti ada hikmatnya. Kalau diambil
                     kata-kata YAB TG Haji Abdul Hadi tadi mungkin syarat untuk menang itu
                     belum dipenuhi. Orang Perlis mesti bekerja lebih kuat lagi bermula dari
                     sekarang. Melihatkan kepada keputusan pilihanraya, bayangan
                     kemenangan itu sudah ada. Tinggal lagi syarat belum mencukupi. Pimpinan
                     BA khususnya PAS diperingkat negeri sudah pasti akan membuat
                     muhasabah diatas pencapaian pada pilihanraya yang lepas. Walaupun
                     menang tiga kerusi DUN namun banyak perkara perlu diperbaiki. Jentera
                     pilihanraya mesti kemas dan teratur. Semasa pilihanraya kecil Arau dulu
                     khabarnya jentera dan "teknologi" gerak kerja pilihanraya diimport dari
                     Kelantan dan Terengganu. Mereka ini terbukti memang pakar dalam gerak
                     kerja pilihanraya. Semangat Arau dan gerak kerja pilihanraya kecil tersebut
                     amat baik untuk terus dipelajari dan diteladani. Tidak dapat dinafikan
                     sememangnya tipu daya musuh memenangkan mereka. Tetapi seperti kata
                     YAB TG Nik Abdul Aziz pada tahun 1990 dulu bahawa kalau kita sudah
                     bersedia dan sentiasa berjaga-jaga tentu mereka tidak akan dapat menipu
                     kita. Walaubagaimanapun saya yakin jika BA menumpukan lebih
                     perhatian, Perlis akan bertukar tangan pada pilihanraya akan datang.

                     Namun kalau diperhatikan kepada keseluruhan keputusan pilihanraya,
                     Barisan Alternatif sebenarnya menang besar. Walaupun BN dapat
                     mengenepikan matlamat BA memerintah Malaysia atau
                     sekurang-kurangnya mengurangkan majoriti dua pertiga BN, hakikatnya
                     UMNO tetap kalah. Lihat sahaja majoriti yang didapati calun-calun dari
                     BN khususnya UMNO. Berkurangan berlipat kali ganda. Ada yang
                     dulunya menang besar tapi sekarang menang dengan majoriti yang tipis.
                     Sesuatu yang amat menggemparkan. Apalagilah beberapa orang kuat
                     UMNO tumbang. Bapak-bapak menteripun ada yang kecundang. Naib
                     Presiden UMNO sendiripun khabarnya hanya berjaya diselamatkan oleh
                     kira-kira dua ratus lebih majoriti undi pos saja. Di Kubang Pasu sendiri,
                     khabarnya kalaulah tidak PM yang bertanding, Tuan Haji Subky Latiff
                     dengan mudah mengalahkan calun UMNO. Pemimpin tertinggi UMNO
                     amat kecut perut dengan perkembangan ini. Benarlah kata-kata seorang
                     penulis dalam Berita Harian bahawa UMNO perlu menilai kembali masa
                     depannya. Orang Melayu sudah mula berubah selera. PAS punyai masa
                     depan yang cemerlang. Orang Melayu sudah mengiktiraf PAS sebagai parti
                     di peringkat nasional. Lihat juga di Negeri Sembilan dan Melaka. Tidak
                     kurang juga Johor. Bukankah negeri-negeri ini secara tradisinya kubu kuat
                     UMNO. Siapa yang berani mencabar UMNO hampir pasti hilang deposit.
                     Tapi pada pilihanraya yang lepas calun-calun dari BA hampir-hampir
                     menumbangkan lawan mereka. Yang menangpun dengan majoriti yang
                     sangat jauh berkurangan. Jelas mood pengundi mahukan perubahan.
                     Tinggal lagi belum cukup untuk menumbangkan kerajaan yang ada.
                     Maklumlah BN selama ini terlalu kuat.

                     Dari beberapa analisa politik yang telah saya baca sebenarnya undi yang
                     didapati oleh BN di Semenanjung Malaysia adalah hanya sekitar lima puluh
                     tiga peratus sahaja (kiraan ini adalah berdasarkan undi yang diperolehi
                     bukannya kerusi). Empat puluh tujuh peratus berpihak kepada BA. Dari
                     aspek ini dua pertiga majoriti BN itu tidaklah sebenarnya valid. Untuk
                     benar-benar mendapat dua pertiga, BN mesti mendapat
                     sekurang-kurangnya enam puluh tujuh peratus undi keseluruhannya. Apa
                     yang mengejutkan lagi adalah dari 4,985,399 pengundi yang keluar
                     mengundi, BN hanya mendapat 2,638,464 sahaja manakala selebihnya
                     iaitu 2,346,935 telah memberikan undi kepada BA. Bezanya hanyalah
                     291,529 sahaja!!! BA hanya memerlukan 145,765 sahaja lagi bagi
                     mendapatkan 50% undi. Jelaslah bahawa dari kiraan undi (bukan kerusi di
                     Dewan Rakyat) BA sebenarnya sudah mencapai kemenangan yang
                     besar!!!. Itulah realitinya pada hari ini jika 680,000 pengundi tidak
                     dinafikan hak mereka. Itu belum lagi diambil kira pengundi hantu yang telah
                     mengundi untuk BN. Bagaimana pula undi pos yang banyak pihak
                     mempertikaikannya. Pokoknya jika pilihanraya dijalankan dengan jujur dan
                     adil (jurdil, meminjam kata-kata bapak Indonesia) sudah pasti
                     keputusannya jauh berbeza. Kalau tadinya saya kecewa dengan
                     pencapaian di Perlis, tetapi setelah melihat statistik ini jiwa saya kembali
                     segar. Semangat terus berkobar. Tunggulah pilihanraya akan datang Perlis
                     pasti jatuh ketangan Barisan Alternatif (Insya'Allah).

                     Dari analisa di atas jelas bahawa sokongan kepada BN khususnya UMNO
                     berkurangan dengan ketara sekali. Pengundi khususnya orang Melayu
                     sudah berpindah sokongan kepada BA. Yang memenangkan UMNO dan
                     BN adalah orang bukan Melayu. UMNO benar-benar bergantung kepada
                     parti komponen BN yang lain. Dengan kata lain sebenarnya UMNO sudah
                     tidak diterima Melayu lagi. Lihat saja di mana majoriti orang Melayu
                     seperti Kelantan dan Terengganu BN kalah teruk. BA pula benar-benar
                     mampu menjadi front alternatif kepada rakyat. Kesedaran rakyat yang
                     telah ada ini mesti dipertingkatkan. Momentum ini mesti dikekalkan. Dari
                     keputusan pilihanraya tersebut rasanya bolehlah kita membuat beberapa
                     kesimpulan. Antaranya adalah:

                     a) Majoriti rakyat khususnya orang Melayu telah sedar dengan segala
                     kemungkaran dan salah guna kuasa oleh kerajaan BN sebelum ini. Mereka
                     tidak dapat menerima segala kezaliman dan penganiayaan khususnya yang
                     dilakukan terhadap Datuk Sri Anwar Ibrahim dan keluarganya. Kes DSAI
                     ini benar-benar membuatkan mereka insaf. Kepincangan dan
                     penyelewengan kerajaan selama ini yang didedahkan sendiri oleh DSAI
                     benar-benar membuka mata rakyat. Sebelum ini mereka tidak dapat
                     menerima sepenuhnya pembongkaran yang dilakukan oleh pihak
                     pembangkang. Apabila ia didedahkan sendiri oleh bekas orang nombor
                     dua kerajaan maka rakyat tidak mempunyai pilihan lagi. Tidak ada apa
                     yang boleh diharapkan dari UMNO. Rakyat di semua peringkat semacam
                     bertekad mahukan perubahan. Gema reformasi berkumandang di
                     mana-mana. Semangatnya menggegarkan negara. Kerajaan yang ada perlu
                     ditumbangkan. Kerajaan baru yang lebih bersih, telus dan
                     bertanggungjawab perlu ditegakkan. Maka BA menjadi pilihan. Namun
                     seperti yang telah saya katakan tadi bahawa BN selama ini terlalu kuat.
                     Gelombang kebangkitan rakyat ini masih belum mampu
                     menumbangkannya. Tapi ia cukup menggugat!!!

                     b) Nampaknya pengundi bukan Melayu masih terus memberikan sokongan
                     kepada BN. Ini mungkin berpunca dari beberapa faktor. Antaranya
                     mereka terpedaya dan termakan dengan segala janji-janji BN. Antaranya
                     lagi kempen mengugut dan menakut-nakutkan mereka yang dijalankan
                     secara berleluasa oleh media massa milik BN benar-benar memberi kesan
                     kepada mereka. Ugutan seperti kekacauan, huru-hara, 13 Mei,
                     campurtangan kuasa asing dan penubuhan negara Islam yang diberikan
                     wajah yang menakutkan membuatkan mereka gerun untuk membuat
                     perubahan. Hatta penyokong DAP sendirpun ada yang berpaling tadah
                     menyokong BN. Seperti kata SUA DAP, En. Lim Kit Siang beberapa hari
                     sebelum pilihanraya bahawa sudah dua puluh peratus penyokongnya lari.
                     YB Tuan Haji Mustapha Ali ketika ditanya hal ini berkata bahawa
                     pengundi bukan Melayu bukannya menolak secara total BA, tetapi ia
                     adalah kemenangan strategi kotor BN. Taktik kotor BN ini benar-benar
                     berkesan. Walaupun bertentangan dengan prinsip sebenar demokrasi dan
                     mencabul kebebasan asasi rakyat seperti yang diperuntukkan oleh
                     Perlembagaan, demi mencapai kemenangan, BN sanggup melakukan apa
                     sahaja. Ini adalah suatu penghinaan terhadap kebebasan rakyat yang
                     berjiwa merdeka.

                     c) Sebenarnya reformasi baru saja bermula. Gelombang kebangkitan
                     rakyat yang memuncak dan secara menyeluruh ini mesti dipertingkatkan.
                     Usaha bagi memberi kesedaran kepada rakyat tidak boleh dihentikan.
                     Momentum ini mesti dikekalkan. Semangat perubahan hendaklah sentiasa
                     ditiupkan agar ianya tidak mudah luntur. Sifat orang kita yang mudah lupa
                     juga perlu dikikiskan. Para pendokong reformasi khususnya perlu ingat
                     bahawa perjuangan masih panjang. PAS memperjuangkan hal ini sejak
                     lebih lima puluh tahun yang lalu. Namun kini barulah nampak hasilnya.
                     Jangan mudah kecewa sebaliknya pertingkatkan azam dan semangat.
                     Untuk itu semua ahli gabungan Barisan Alternatif hendaklah meneruskan
                     segala usaha dan kerja kuat sebagaimana sebelum pilihanraya. Kita
                     percaya selepas ini kerajaan BN akan melakukan berbagai perkara bagi
                     melembutkan hati orang Melayu dan mengembalikan sokongan kepada
                     mereka. Kepada orang bukan Melayu pula mereka akan sanggup
                     memberikan apa saja sebagai balasan terhadap sokongan yang diberikan
                     dan sebagai umpan bagi memastikan golongan ini terus bersama BN. Oleh
                     itu BA tidak boleh berdiam diri. Usaha-usaha tersebut mesti dilakukan
                     secara berterusan. Mana-mana persatuan samada pelajar atau pekerja,
                     NGO atau apa sahaja yang menyokong BA mesti meneruskan sokongan
                     dengan mempertingkatkan kegiatan menyedarkan ahli gabungan dan rakyat
                     keseluruhan. Laman-laman web yang menyokong reformasi DSAI dan BA
                     juga hendaklah terus berperanan. Sumbangan mereka ini terbukti besar
                     dalam pilihanraya yang lalu. Kebangkitan yang sebegini hanya mungkin
                     berlaku sekali ini sahaja. Sekali rakyat termakan dengan pujukan mereka,
                     reda dengan kemarahan, amat payah untuk kita kembali ketahap ini lagi.

                     d) Amat jelas bahawa pertarungan satu lawan satu baru-baru ini
                     benar-benar menggugat BN. Oleh itu kerjasama dalam BA bukan sahaja
                     perlu diteruskan malah dipertingkatkan lagi. Kenyataan YB Datin Seri Dr.
                     Wan Azizah bahawa BA akan diteruskan dan Parti Keadilan akan tetap
                     bersama dalam BA amatlah dihargai. Ia menunjukkan kematangan dalam
                     berpolitik. Sikap menyalahkan orang lain sepatutnya tidak timbul dan mesti
                     dihentikan. Seperti kata YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz "BA ini umpama
                     suami isteri yang baru saja diakad nikahkan dan masih lagi dalam masa
                     berbulan madu. Tak manis dipandang orang kalau kita sudahpun
                     bertengkar. Nanti juga orang akan hilang kepercayaan dan keyakinan
                     kepada kita". Kita mesti akur bahawa tanpa pakatan dan kesepaduan
                     pembangkang mustahil BN dapat dikalahkan. Oleh itu sebarang usaha
                     kearah mengukuhkan kerjasama yang telah sedia ada ini mesti diteruskan
                     manakala apa sahaja yang boleh meretakkan hubungan mesti dihindarkan.
                     Perbezaan dasar perjuangan sepatutnya tidak lagi menjadi halangan sebab
                     semuanya mempunyai matlamat yang satu iaitu menumbangkan BN.

                     e) Salah satu kejayaan besar BA khususnya PAS dalam pilihanraya lalu
                     juga adalah penerimaan orang Melayu/Islam terhadap DAP. Dalam
                     pilihanraya yang lepas terbukti orang Melayu sudah boleh menerima
                     perjuangan yang dibawa oleh DAP dalam konteks menentang
                     penyelewengan dan salah guna kuasa. Ini tidak mungkin berlaku sebelum
                     ini. Satu tembok telah diruntuhkan. Tinggal lagi orang bukan Melayu masih
                     lagi takut-takut dengan PAS. Mereka tidak boleh dipersalahkan
                     sepenuhnya. Taktik kotor BN yang menyebabkan mereka begitu. Oleh itu
                     BA khususnya PAS dan Keadilan hendaklah mengambil peluang dalam
                     masa empat atau lima tahun ini bagi memberikan penjelasan yang
                     secukupntya kepada orang bukan Islam tentang perjuangan yang di bawa.
                     Konsep negara Islam yang diperjuangkan PAS hendaklah difahami oleh
                     orang bukan Islam. Mereka mesti diberi kefahaman bahawa semua hak
                     mereka terjamin dibawah pemerintahan kerajaan Islam malah lebih
                     dilindungi. Konsep keadilan Islam adalah jauh lebih baik dari apa yang
                     mereka nikmati di bawah kerajaan yang ada hari ini. Begitu juga sebarang
                     perkara yang boleh menakutkan mereka janganlah diperbesarkan sehingga
                     mereka diberi kefahaman terlebih dahulu. Ingatlah bahawa musuh akan
                     sentiasa menimbulkan kontroversi bagi menakutkan mereka terhadap
                     sistem Islam. Sokongan orang bukan Islam amat penting kerana tanpa
                     sokongan mereka tidak mungkin PAS akan berjaya memerintah Malaysia.

                     f) Kerajaan Kelantan dan Trengganu benar-benar mempunyai
                     tanggungjawab yang besar. Pengalaman Kelantan selama hampir sepuluh
                     tahun membuka mata banyak pihak tentang kebaikan dan kemampuan
                     pentadbiran dan pemerintahan cara Islam. Kita yakin bahawa Terengganu
                     juga akan membuktikan sedemikian. InsyaAllah kelebihan kekayaan yang
                     ada pada Terengganu akan digunakan sebaik mungkin untuk faedah
                     rakyat. Ini sudah semestinya menarik rakyat untuk memberikan sokongan
                     kepada BA bagi memerintah Malaysia pada pilihanraya yang akan datang.
                     Selain dari itu ahli-ahli Parlimen BA khususnya PAS dan Keadilan mestilah
                     memainkan peranan secara berkesan di Dewan Rakyat. Gabungan antara
                     ulama dan teknokrat yang ada itu sudah cukup mencabar kewibawaan
                     BN. Mereka sahajalah yang boleh diharap untuk membela rakyat yang
                     tertindas. Biarlah suara mereka bergegar di Parlimen mewakili suara
                     rakyat. Disamping itu dengan kehadhiran mereka diharapkan mesej Islam
                     akan lebih luas dan lebih dihormati. Jika mereka boleh membuktikan
                     kemampuan mereka nescaya pada pilihanraya yang akan datang rakyat
                     tidak mempunyai pilihan yang lain.

                     Itulah beberapa kesimpulan yang boleh kita buat dari keputusan pilihanraya
                     yang lepas. Kalaulah boleh saya buat andaian maka saya akan
                     mengandaikan begini. Pada pilihanraya yang akan datang Kelantan dan
                     Trengganu akan terus diperintah oleh PAS dengan majoriti yang lebih
                     besar. Perlis dan Kedah juga jatuh ketangan BA. Kalau kena caranya
                     Pahang sekali. Kubu kuat UMNO/BN di Negeri Sembilan, Selangor,
                     Melaka dan Johor tumpas, manakala peningkatan di Pulau Pinang begitu
                     ketara. Itulah andaian saya. Tapi kalaulah betul begitu nampaknya BA
                     sudah memerintah Malaysia!!! Insya'Allah. Tahniah untuk BA!!!