Umno perlu buktikan keikhlasan adakan pertemuan

Pemimpin Umno perlu ikhlas dan menunjukkan kesungguhan bagi menyelesaikan pelbagai kemelut politik di negara ini, bagi membolehkan pertemuan antara pemimpin parti itu dengan PAS diadakan.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, berkata mereka juga perlu mengelakkan diri daripada cuba mengambil kesempatan pertemuan tersebut bagi tujuan tertentu.
"Jika mereka (pemimpin Umno) ikhlas untuk mengadakan pertemuan itu dan bersetuju tiga syarat yang ditetapkan oleh PAS, majlis tersebut boleh diteruskan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) di sini hari ini.
Beliau berkata, tiga permintaan PAS iaitu mengembalikan royalti minyak kepada Terengganu, membenarkan penerbitan Harakah dua kali seminggu sebagaimana sebelum ini dan Kerajaan Pusat perlu menolak cadangan Umno supaya melarang penggunaan perkataan Islam pada parti politik, perlu dipenuhi terlebih dahulu sebelum pertemuan itu diadakan.
"Tindakan yang dibuat sebelum ini (yang melibatkan ketiga-tiga isu tersebut) adalah bercanggah dengan sistem demokrasi berparlimen dan semangat patriotisme," ujarnya yang juga Menteri Besar Terengganu.
Beliau berkata, langkah pemimpin Umno menubuhkan semula Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Terengganu juga bercanggah dengan Perlembagaan kerana pelantikan badan seumpama itu terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
"Kita sebagai parti pembangkang berada di tempat yang rendah dan mereka (Umno) berada di tempat yang tinggi," katanya.
Sehubungan itu, katanya, Umno perlu melaksanakan tuntutan itu sebagai bukti keikhlasan dan kesungguhan mereka untuk membincangkan isu Perpaduan Nasional.
 

sumber : Harakahdaily