UMNO TERENGGANU MAHU AHLI BELOT DIKENAKAN
 TINDAKAN TEGAS
 
 BANDAR PERMAISURI, 19 Dis -- Umno Terengganu
 meminta pucuk pimpinan parti mengambil tindakan tegas terhadap
 sepuluh ahli Umno di negeri ini termasuk seorang pemimpin
 bahagian yang belot semasa kempen pilihan raya umum lalu.

 Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Tengku
 Mahmud Mansor berkata pihaknya sedang menghantar senarai
 nama ahli berkenaan dan jenis kesalahan yang mereka lakukan
 kepada jawatankuasa disiplin Umno untuk tindakan lanjut.

 Beliau berkata Umno Terengganu menyarankan seorang daripada
 sepuluh ahli berkenaan dipecat keahliannya kerana melakukan
 kesalahan lebih besar, berbanding yang lain.

 Difahamkan ahli terbabit adalah anggota jawatankuasa Umno
 Bahagian Setiu, yang bertanding atas tiket parti pembangkang
 pada pilihan raya umum 29 Nov lepas.

 "Sembilan lagi ahli disarankan diberi amaran keras dan jaminan
 tidak akan mengulangi kesalahan yang sama di masa depan,"
 katanya ketika ditemui di sini ari ini.

 Antara kesalahan yang dikatakan dilakukan ahli Umno terbabit ialah
 berkempen untuk parti lawan, dan tidak membantu jentera Barisan
 Nasional menghadapi pilihan raya di kawasan masing-masing.

 Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad
 Badawi berkata Majlis Tertinggi Umno (MT) menerima aduan lebih
 100 ahli Umno yang belot di seluruh negara semasa kempen pilihan
 raya lalu.

 Beliau dilaporkan berkata MT menyerahkan kepada jawatankuasa
 disiplin parti berkenaan untuk meneliti laporan tersebut dan
 mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati bersalah.

 Tengku Mahmud berkata Umno Terengganu juga akan
 mengumpulkan pelbagai laporan mengenai salah laku pemimpin Pas
 menggunakan isu agama sebagai bahan mereka pada pilihan raya
 itu.

 "Selepas itu pihak kami akan menyediakan satu usul khas untuk
 dibawa ke perhimpunan agung Umno bagi mengharamkan
 penggunaan perkataan agama pada mana-mana pertubuhan,
 katanya.

 Beliau berkata, pihaknya berharap usul berkenaan mendapat
 sokongan daripada perwakilan Umno dan diluluskan bagi
 memastikan tidak ada pihak tertentu menggunakan agama bagi
 kepentingan politik mereka.