Perebutan jawatan dalam Umno Terengganu makin hebat
Kedudukan
Umno Terengganu kini dikatakan makin gawat berikutan perebutan sengit di
kalangan pemimpinnya bagi merebut jawatan ketua bahagian yang dijadualkan
diadakan pada April depan.
Harakah difahamkan acara
lobi melobi dan saingan tidak sihat yang sedang giat dilakukan oleh pemimpin
parti itu yang berminat menjawat pelbagai jawatan di peringkat bahagian,
makin melemahkan parti tersebut.
Sebahagian besar pemimpinnya
dikatakan tidak begitu berminat untuk membantu pucuk pimpinan parti itu
bagi mengembalikan maruah Umno Terengganu yang tercalar dalam pilihan raya
umum lalu, tetapi mereka lebih berminat merebut jawatan dalam parti kerana
kepentingan tertentu.
Keghairahan pemimpin pelapis
untuk merebut jawatan tertentu semakin terserlah apabila beberapa pemimpin
veteran seperti bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Haji Wan Mokhtar
Ahmad dan bekas Ahli Exco, Dato' Abu Bakar Daud, "dipaksa" berundur dari
arena politik.
Kedua-dua pemimpin yang
paling lama bergiat dalam arena politik di negeri ini, kini berada di luar
negara setelah dilantik sebagai duta Arab Saudi dan Mesir.
Antara bahagian yang dijangka
menyaksikan saingan sengit bagi merebut jawatan ketua dan beberapa jawatan
penting lain ialah Setiu, Kuala Terengganu, Dungun, Kemaman, Hulu Terengganu
dan Marang.
Difahamkan hanya Ketua Umno
Bahagian Besut, Dato' Dr Yusof Nor dan Ketua Bahagian Hulu Nerus, Dato'
Abdul Rashid Ngah yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri
Terengganu, tidak akan ditentang pemimpin bahagian lain.
Manakala enam bahagian lain
lagi bakal menyaksikan ketua yang sedia ada akan ditentang oleh pemimpin
pelapis yang berpendapat mereka lebih layak menerajui bahagian masing-masing
berbanding ketua yang sedia ada.
Pertandingan sengit dalam
pemilihan pucuk pimpinan peringkat bahagian bukan saja berlaku di peringkat
bahagian, tetapi juga dikatakan terjadi dalam Pemuda bahagian.
Pemerhati politik berpendapat keadaan ini berlaku mungkin disebabkan pemimpin pelapis berpendapat mereka perlu merebut peluang kekalahan Umno Terengganu dalam pilihan raya lepas adalah peluang terbaik kepada mereka untuk menjatuhkan pemimpin lama.
Jika mereka tidak menjatuhkan
pemimpin sedia ada, mungkin peluang mereka untuk menonjolkan diri sebagai
calon dalam pilihan raya umum akan datang, akan terjejas.
Oleh itu, mahu tidak mahu
mereka terpaksa mencabar pemimpin veteran, walaupun ada antara mereka yang
menjadi "guru" kepada golongan pelapis ini dalam mengenali sepak terajang
politik.