TERENGGANU  DARUL IMAN
 
 
Royalti: Pusat ketepi undang-undang 
Oleh AZMI YUSOF dan KAMARUDDIN MAT AKIB

KUALA TERENGGANU, 12 Sept  - Tindakan Kerajaan Pusat untuk menghentikan bayaran royalti minyak kepada Kerajaan Terengganu adalah membelakangkan undang-undang, kata Dr Haji Alias Razak.

Wakil PAS Bukit Tunggal itu berkata, ini kerana perkara itu termaktub dalam perjanjian mengenai pembayaran royalti minyak antara kerajaan negeri dengan Petronas. 

Katanya, langkah yang dilakukan Kerajaan Pusat itu dikhuatiri menjadi teladan yang tidak baik dan akan menjadi ikutan pihak lain. 

Beliau berkata, apa akan terjadi kepada negara ini jika rakyat membelakangkan undang-undang dan tidak mengikut apa yang digaris dalam undang-undang negara. 

Menurutnya, Kerajaan Pusat tidak sepatutnya menjadikan perbezaaan politik sebagai alasan untuk membelakangkan undang-undang. 

“Oleh itu, saya minta Kerajaan Pusat jangan teruskan tindakan ini kerana ia akan menjadikan kedudukan mereka hina di mata dunia antarabangsa,” ujarnya ketika membahaskan usul tergempar pada Mesyuarat Yang Kedua Penggal Persidangan Yang Kedua Dewan Undangan Negeri Kesepuluh hari ini. 

Usul tersebut dibawakan oleh Dr Sulaiman Abdullah (PAS-Ladang). Sementara itu, Ustaz Saiful Bahri Mamat (PAS-Paka) ketika membahaskan usul yang sama berkata, Kerajaan Pusat bersifat talam dua muka dan kuku besi. 

Ini, katanya kerana pada peringkat antarabangsa, para pemimpin negara secara lantang mencanangkan keadilan supaya negara kaya tidak menindas negara membangun. 

Bagaimanapun, tambahnya di negara sendiri, pemimpin Kerajaan Pusat membelakangkan proses demokrasi apabila ia menindas negeri yang diperintah oleh parti pembangkang.

"Pemimpin Kerajaan Pusat patut mengikis sikap berdendam dan lakukan keadilan kepada semua termasuk Terengganu," ujarnya.

Beliau juga melahirkan rasa kesal dengan sikap pemimpin Umno negeri yang menyokong agar royalti minyak itu tidak disalurkan kepada kerajaan negeri. 

"Semasa PAS menjadi pembangkang, kita tidak suruh Pusat tarik balik royalti sebaliknya meminta dinaikkan royati kepada 20 peratus," katanya. 

Mohd Azmi Lop Yusof (PAS-Bandar) pula berkata, Terengganu yang menjadi sebahagian daripada Malaysia tidak sewajarnya dianiayai oleh Kerajaan Pusat. Katanya, perpecahan yang berlaku di negara-negara dalam Soviet Rusia suatu masa dahulu juga berkait dengan penindasan yang dilakukan oleh para pemimpinnya. 

Beliau juga berpendapat tindakan kerajaan Pusat tidak menyalurkan royalti kepada kerajaan negeri menyebabkan dunia luar meragui kepimpinan negara untuk melabur. 

Bagi Ustaz Nik Zawawi Mohd Salleh (PAS-Kuala Besut), perkara itu tidak timbul jika BN terus memerintah negeri ini.

Katanya, pihak yang sengaja mempersoalkan ke mana wang royalti yang telah diterima sebanyak RM432 juta itu hanyalah dalih semata-mata. 

"Mereka hanya berdalih, kata kerajaan negeri tidak mengurus wang royalti itu," katanya.
 

dIPETIK DARI : Harakahdaily