Oleh MOHD ADIB IBRAHIM
Unit Perpaduan Ummah (UPU) telah digantikan dengan Unit Pembinaan
Insan (UPI) setelah
kerajaan Barisan Nasional pimpinan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad
jatuh ke tangan Parti Islam
Se-Malaysia (PAS) di dalam pilihan raya ke-10, 29 November yang
lalu.
Apabila sesebuah kerajaan negeri tumbang, dasar dan corak pemerintahan
akan turut berubah.
Menyedari hakikat ini, PAS merasakan pembangunan insan amat penting
untuk membina diri insan ke
arah yang lebih baik lalu UPI diwujudkan bagi memainkan peranan
itu.
Ditinjau dari sudut ini, UPI diketengahkan untuk mengubah world-view
dengan mengambil kira
kepentingan dan kemantapan akidah rakyat supaya berpegang teguh
dengan ajaran Islam yang
sebenarnya.
Akidah yang mantap amat perlu dicernakan bagi menyelesaikan masalah
manusia yang pincang
dengan pelbagai krisis sosial yang kronik setelah pemerintahan
kerajaan Barisan Nasional terdahulu
tidak mementingkan pembinaan insan.
Adalah diharapkan UPI yang diwujudkan mampu melahirkan peribadi
yang dapat menghayati konsep
hidup manusia sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi dengan
mengikis sifat-sifat buruk
selama ini.
UPI perlu bergerak melahirkan manusia yang berprinsip, berakidah,
terbangun peribadi (rohani dan
jasmani), menghadapi hidup dengan waspada sebagai tempat ujian
Allah mengketengahkan
ketamadunan ilmu di dalam erti kata yang sebenarnya, membangunkan
agama, bangsa dan negara di
atas kefahaman Islam yang sebenarnya.
Dakwah Rasulullah s.a.w adalah mendidik generasinya dengan tauhid
bagi membebaskan manusia
dari kekangan segala faham kebendaan, mementingkan diri, puak,
kroni dan membuang tabiat
kongkongan nafsu selaras dengan hasrat untuk mendaulatkan Islam.
Di dalam membawa kesedaran perubahan diri rakyat di Terengganu,
UPI perlu merujuk kepada
kejayaan methodogi Rasulullah s.a.w. di atas proses membersihkan
jiwa, ilmu, akhlak yang
diselubungi pemikiran jahiliah yang sekian lama dikekang oleh
pengaruh kebendaan.
Untuk mengubah peribadi insan ke arah yang lebih baik, UPI perlu
merancang program yang mantap
menuju sasaran yang sebenarnya agar terbangun Islam di dalam
suasana yang harmonis.
UPI perlu membersih jiwa pemimpin dan rakyat dari bersifat takabur,
ego, membebaskan diri dari
ikatan kebendaan dan memperolehi kekuatan dalaman yang tidak
merasa takut melainkan hanya
kepada Allah.
Kita perlu sedar tentang hakikat ini kerana Allah Maha Berkuasa
atas segala-galanya, Allah boleh
memberi dan menarik kembali kuasa.
Oleh itu, peranan UPI untuk mentarbiyah rakyat dan juga pemimpin
dipelbagai peringkat adalah
tanggungjawab besar di dalam usaha mempertahankan kerajaan baru
di dalam jangka masa 5 tahun
dari sekarang.
Ekoran itulah, peranan membersihkan jiwa dari karat-karat pemikiran
kebendaan, pangkat dan kuasa
bagi melahirkan individu yang mantap dalam aspek rohaniah, aqliah
dan jasmaniah kepada pembinaan
masyarakat dan negeri yang ideal memerlukan golongan yang jujur,
ikhlas dan tidak mementingkan
diri dan kroni di dalam usaha membawa mesej Islam ke dalam jiwa
rakyat yang dahagakan
kebenaran.
Sekiranya tiada kesediaan di kalangan rakyat untuk menerima perubahan
dengan Islam, pelaksanaan
Islam akan menghadapi jalan buntu, oleh itu konsep pembersihan
jiwa dan membangunkan peribadi
umat Islam perlu diberi perhatian yang serius bagi membuka minda
rakyat agar memahami Islam
secara menyeluruh.
Pembersihan jiwa meletakkan manusia dalam perimbangan antara hidup
yang bersifat kebendaan
dengan kerohanian. Di dalam satu keadaan, manusia diwajibkan
bekerja untuk memberi nafkah
kepada keluarga dan mencari kekayaan supaya dengan harta dapat
membantu menyebarkan Islam.
Tetapi manusia diingatkan bahawa kekayaan bukan sebagai matlamat
hidup.
Penyakit al-wahnu yang menular dalam masyarakat menyebabkan manusia
cintakan harta,
kebendaan dan pangkat yang teramat sangat dan takut untuk menemui
maut, menjadikan mereka
ibaratkan buih yang kelihatan banyak, tetapi tidak mempunyai
kekuatan dengan bergerak mengikut
arus yang melanda. Sehingga akhirnya menyebabkan musuh boleh
melakukan sewenang-wenangnya
ke atas mereka telah hilangnya daya juang tersebut.
Dalam keadaan yang lain pula, manusia juga mesti mempunyai kekuatan
rohaniah. Ianya melepaskan
manusia dari belenggu kebendaan dan meletakkan ukuran mulia hinanya
manusia bukan dalam bentuk
harta dan kuasa. Sebaliknya yang termulia ialah yang tinggi nilai
takwa di sisi Allah SWT.
Oleh itu, peranan UPI di dalam mengubah perwatakan rakyat (manusia)
perlu dipelbagai kaedah dan
pendekatan yang menarik agar rakyat negeri Terengganu tidak kehilangan
arah dan hala tujunya.
Pembinaan umat Islam bermula dengan kekuatan diri yang nantinya
mampu mengubah keluarga,
masyarakat dan negara. Tanpa kekuatan diri, kegagalan di dalam
membina insan.
Pembinaan diri insan melalui madrasah malam (qiyamullail) seperti
mana yang diamalkan oleh para
sahabat merupakan satu wadah penting yang perlu disedarkan kepada
manusia agar mampu
melahirkan watak-watak Muslim-Mukmin yang unggul dan berwibawa
selaras dengan hasrat dan
matlamat kerajaan negeri.
Sudah tiba masanya, penggemblengan tenaga dilakukan di dalam memahamkan
manusia dalam
konteks Islam yang sebenarnya.
Andainya UPU ditubuhkan era BN berkuasa untuk kepentingan politik
mereka maka tiba masanya,
UPI memainkan peranan menyeluruh bukan di atas dasar kepentingan
politik sebaliknya perlu
mencernakan atau menjelaskan Islam yang sebenarnya kepada manusia
berasaskan al-Quran dan
al-Sunnah.
Sekiranya kegagalan di dalam memainkan peranan menyedarkan manusia
di dalam erti kata yang
sebenarnya, rakyat di negeri ini akan terus bergelut dengan pangkat,kebendaan
dan kuasa. Akibat
daripadanya, rakyat di peringkat bawahan akan terus berada di
dalam 'kepanasan' dan gelora yang
berterusan kerana persoalan tarbiyah masih tidak mencapai matlamat.
Oleh itu, sesuatu pengisian perlu dilakukan ke dalam minda rakyat
agar tercerna sesuatu yang positif
dari perubahan kuasa yang berlaku baru-baru ini.