"Persoalan 420 pekerja UPU dipecat tidak timbul kerana kontrak
mereka telah tamat pada 31 Dis lepas dan kita membubarkan unit
berkenaan sebaik sahaja kontrak mereka tamat," katanya di sini,
hari ini.
Ketika ditanya kemungkinan 420 kakitangan berkenaan akan
diserapkan semula sebagai pekerja di Unit Bina Insan (UBI) yang
ditubuhkan kerajaan PAS bagi menggantikan UPU, Tuan Guru
Haji Abdul Hadi berkata pihaknya akan mengkaji perkara itu
secara terperinci.
"Kita akan melihat dalam pelbagai aspek kerana sebelum ini
kebanyakan daripada mereka diberi jawatan dengan gaji yang
tinggi tetapi tidak mempunyai kerja," katanya.
Menteri Besar berkata kerajaan negeri kini dalam proses merangka
fungsi UBI dan memperkenalkan struktur organisasinya.
Beliau diminta mengulas laporan sebuah akhbar harian hari ini
mengenai tindakan kerajaan PAS Terengganu memecat 420
kakitangan termasuk Pengarah Unit Perpaduan Ummah (UPU),
Baharuddin Mohamad, berkuatkuasa kelmarin.
Akhbar itu melaporkan bahawa unit berkenaan turut dibubarkan
dan digantikan dengan jentera baru yang dinamakan Unit Bina
Insan (UBI) bagi mengukuhkan kedudukan parti itu di Terengganu.
Sebelum ini, kerajaan negeri juga memecat 15 kakitangan Berita
Darul Iman dan Studio 305 serta mengambil 30 pekerja baru untuk
menggantikan kekosongan berkenaan, lapor akhbar itu.
Abdul Hadi juga menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa
kerajaan negeri akan memecat imam dan bilal yang dilantik oleh
kerajaan Barisan Nasional (BN) lepas.
Terdapat kira-kira 2,000 imam dan bilal di Terengganu.
"Kerajaan negeri sebenarnya sedang menimbang untuk menambah
jumlah imam dan bilal di negeri ini bagi memenuhi permintaan
di
seluruh negeri," kata beliau.
Terdahulu, selepas mengadakan pertemuan dengan 16 anggota
Perhimpunan Persatuan Tiong Hua Terengganu di Wisma Darul
Iman di sini hari ini, Tuan Guru Hj.Abdul Hadi berkata kerajaan
negeri akan
melantik seorang atau dua wakil masyarakat Cina di setiap daerah
menjelang 1 Mac ini.
"Pelantikan mereka dalam majlis daerah dan Jawatankuasa
Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) itu akan membolehkan
kerajaan mengetahui pandangan dan pendapat dari masyarakat
Cina di negeri ini," katanya.
Beliau berkata jumlah wakil itu akan diputuskan melalui beberapa
faktor termasuk jumlah masyarakat Cina di daerah berkenaan.
Presiden Perhimpunan Persatuan Tiong Hua cawangan Terengganu
Tan Choon Huat ketika ditanya mengenai wakil masyarakat Cina
berkata pihaknya akan mengemukakandua nama untuk daerah
Kuala Terengganu iaitu satu untuk Majlis Perbandaran Kuala
Terengganu dan satu lagi untuk mewakili masyarakat Cina dalam
Majlis Syura.
Mengenai pertemuan dengan Menteri Besar, Choon Huat berkata ia
bertujuan membolehkan pihaknya megemukakan pendapat dan
cadangan mengenai beberapa perkara termasuk menambah
kawasan perkuburan Cina di Terengganu termasuk di bandr Kuala
Terengganu, Besut, Paka dan Kemaman.