ROYALTI : KAMI TETAP BERSAMA TOK GURU



Terengganu terus bantu usahawan

KUALA TERENGGANU- Kerajaan Negeri Terengganu berhasrat untuk terus membantu usahawan-usahawan kecil dan skim yang diluluskan akan diperluaskan di seluruh daerah-daerah sebaik sahaja mendapat duit yang telah diperuntukkan.

Selain peruntukan pinjaman tersebut kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) akan terus mengadakan program-program seperti menganjurkan kursus, seminar dan latihan usahawan serta khidmat nasihat dan bimbingan kepada usahawan secara berterusan di samping mengadakan jualan dan pameran produk usahawan IKS, penerokaan peluang, program penjodohan (match-making) dan penyediaan kilang serta kedai kepada usahawan.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Peniaga Kecil dan Hal Ehwal Pengguna, Haji Mohd Abdul Wahid Endut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada menteri dan pegawai kanan Kementerian Pembangunan Usahawan yang terus memberi sokongan kepada usaha kerajaan negeri khususnya melalui YPU untuk terus membantu para usahawan negeri ini.

Malah, katanya menteri telah bersetuju melantik seorang Pegawai Kanan Kementerian Pembangunan Usahawan untuk menduduki dalam ahli Lembaga Pengarah Terengganu YPUT, dan telahpun hadir mesyuarat lembaga.

YPUT juga telah diminta untuk bekerjasama dengan Yayasan Tekun Nasional (TEKUN) di bawah Kementerian untuk terus sama-sama membantu para usahawan negeri ini.

"Saya harap jangan ada apa-apa usaha dari mana-mana pihak untuk sabotaj apa juga usaha yang dilakukan untuk mencari kebaikan bersama untuk faedah rakyat seluruhnya," ujarnya ketika menggulung perbahasan Belanjawan Negeri Tahun 2001 pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini semalam.

Menurutnya, beliau menyebut perkara itu kerana ada usaha yang dibuat oleh golongan tertentu untuk menghalang para pegawai kerajaan Jabatan Persekutuan untuk tidak hadir atau menghantar wakil ke mesyuarat di peringkat Jawatankuasa Tertinggi Negeri sedangkan kerajaan negeri mengambil sikap tidak berkonfrontasi dengan mana-mana pihak.

Tambahnya, tetapi apa yang berlaku, sebagai contoh dalam menangani masalah hal ehwal pengguna, Majlis Hal Ehwal Pengguna Negeri yang ditubuhkan telah melantik wakil BN Seberang Takir untuk menjadi pengerusi dan tidak ada wakil kerajaan negeri.

Menurutnya, ia bukan sahaja tidak menjemput EXCO yang menjaga Hal Ehwal Pengguna Peringkat Negeri atau mana-mana wakil rakyat penyokong kerajaan menganggotai majlis itu, malah yang menjadi timbalan pengerusi ialah bekas Exco, Wong Foon Meng dan ahli-ahlinya ialah timbalan ketua-ketua Umnodi peringkat bahagian.

"Inilah antara contoh gangguan pimpinan parti politik Umno dan BN dalam pentadbiran negeri menyebabkan kerajaan negeri membuat keputusan melarang para pegawainya menduduki dalam majlis ini.

Apa yang saya kesalkan ialah Majlis Hal Ehwal Penggunapun cuba diseretkan ke dalam kancah politik kepartian," katanya.