Usul Di bawah Fasal 30, Peraturan-peraturan dan Perintah-perintah
Tetap Dewan Undangan Negeri
Perkara-perkara yang Mustahak Bagi Orang Ramai
Tuan Yang Dipertua,
Saya mohon mencadangkan satu usul di bawah 30 untuk menangguhkan persidangan
dewan bagi membincangkan satu perkara yang mustahak bagi orang ramai yang
perlu disegerakan. Usul tersebut berbunyi: Bahawa Dewan ini mengambil ketetapan
mengutuk sekeras-kerasnya pencabulan prinsip demokrasi dan konsep sistem
kerajaan berpersekutuan (Federalisme) oleh pimpinan kerajaan pusat terhadap
rakyat dan Kerajaan Negeri Terengganu dan menyeru supaya pimpinan Kerajaan
Pusat menghentikan tindakan menindas dan menzalimi rakyat dan Kerajaan
Negeri Terengganu semata-mata atas perbedaan dasar perjuangan dan pemerintahan
serta kembali melaksanakan tanggungjawab mengikut kaedah dan ketetapan
yang telah dipersetujui bersama berdasarkan peruntukan undang-undang dan
perjanjian khususnya dalam soal royalti Petroleum.
Ketetapan ini perlu berdasarkan faktor-faktor berikut:
a) Demokrasi memberi kebebasan kepada rakyat memilih kerajaan yang
mereka kehendaki. Selama berpuluh-puluh tahun rakyat negeri Terengganu
memilih parti Barisan Nasional (BN) untuk memerintah mereka dan selama
itu tidak ada sebarang diskriminasi dilakukan terhadap Kerajaan Negeri
Terengganu oleh Kerajaan Pusat. Tetapi aoabila kerajaan Negeri Terengganu
diambilalih oleh parti Barisan Alternatif (BA) yang dipimpin oleh PAS dan
telah melaksanakan polisi baru yang memberikan manfaat kepada rakyat di
antaranya:
i. Menghapuskan tol di Jambatan Sultan Mahmud.
ii. Menghapuskan cukai pintu rumah kediaman.
iii. Menaikkan elaun Imam dan Bilal.
iv. Menaikkan bantuan Kebajikan Masyarakat kepada orang miskin dan
kurang upaya.
v. Memberikan kemudahan pinjaman kenderaan dan rumah kepada kakitangan
kerajaan dan agensinya tanpa riba dan tanpa keuntungan.
vi. Memberikan kemudahan cuti bersalin selama tiga bulan kepada kakitangan
wanita dengan dibayar gaji penuh.
vii. Membuka semula permohonan tanah kepada rakyat yang sudah dibekukan
berpuluh-puluh tahun, membuka tapak kediaman dan penternakan.
viii. Menyusun semula aspek-aspek pendidikan agama sama ada di sekolah-sekolah
kerajaan atau yang diuruskan oleh rakyat.
ix. Menekankan konsep pembangunan yang menyeluruh dan bersepadu berteraskan
kepada konsep pembangunan insan.
x. Penubuhan Suruhanjaya Hisbah iaitu satu-satunya yang pernah ditubuhkan
di Malaysia. Satu mekanisma bagi menjamin terlaksananya ketelusan, keadilan,
akauntabiliti dan good governance yang menyeluruh dan merata bagi kepentingan
rakyat tanpa mengira perbedaan kaum, agama dan politik. xi. Semua perubahan
ini dilihat oleh pimpinan BN sebagai satu ancaman kepada pengaruh dan kekuatan
mereka bukan sahaja di Terengganu tetapi di luar negeri Terengganu. Ketakutan
dan kepentingan politik inilah yang mendorang mereka melakukan diskriminasi
dan penindasan secara terancang kerajaan negeri Terengganu sekarang.
Oleh itu, atas nama hak dan keadilan, usul ini perlu mendapat sokongan
padu termasuk daripada pembangkang. Dr Sulaiman Abdullah Adun Ladang, Terengganu.
|