Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan
Pelancongan negeri Wan Hassan Mohd Ramli berkata kerajaan Pas
akan melihat semua program yang dirancangkan oleh BN di negeri
ini.
"Secara kasarnya kita tidak akan menolak kebudayaan dan
pelancongan selagi ia tidak bercanggah dengan Islam," katanya
kepada pemberita selepas majlis sambutan peserta pacuan empat
roda Rainforest Challenge '99 di sini hari ini.
Wan Hassan adalah Exco kerajaan Pas yang pertama menghadiri
majlis rasmi kerajaan selepas Pas memerintah Terengganu
berikutan memenangi pilihan raya umum lepas.
Wan Hassan bagaimanapun berkata kerajaan akan mengkaji semula
acara-acara permainan yang bercanggah dengan Islam pada Pesta
Pantai bagi memastikan pesta itu lebih sihat.
Rainforest Challenge '99 yang dianjurkan bersama kerajaan
Terengganu dan Motorsports Adventure Sdn Bhd disertai 255
peserta termasuk media cetak dan elektronik dari 22 buah negara
iaitu dari benua Eropah, Afrika, Asia Pasifik dan Amerika Utara.
Negara-negara itu ialah Jepun, Indonesia, Singapura, Taiwan,
Hong Kong, Korea Selatan, Thailand, Australia, Malaysia, Sweden,
United Kingdom, Sepanyol, Itali, Switzerland, Belanda, Denmark,
Jerman, Belgium, Poland, Perancis, Afrika Selatan dan Amerika
Syarikat.
Acara Rainforest Challenge bermula esok di Tasik Kenyir, Hulu
Terengganu dan berakhir di Awana Kijal, Kemaman.
-- BERNAMA